Am 05/08/2026 02:13 PM

Lee lam Thye Gesa Semak Prosedur Saringan Di KLIA Susulan Penahanan Juruterbang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lee lam Thye Gesa Semak Prosedur Saringan Di KLIA Susulan Penahanan Juruterbang
Tan Sri Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap prosedur saringan keselamatan sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan penahanan seorang juruterbang rakyat Malaysia berhubung kes penyeludupan dadah di lapangan terbang Jakarta.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun individu berkenaan masih dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui proses undang-undang, insiden itu menimbulkan persoalan serius mengenai protokol keselamatan lapangan terbang.

"Bagaimanakah juruterbang itu dapat melepasi saringan keselamatan di KLIA tanpa dapat mengesan  dadah yang disyaki dibawanya? Insiden ini memerlukan siasatan menyeluruh sama ada terdapat sebarang kelemahan atau kelompangan dalam prosedur saringan keselamatan sedia ada.

"Jika terdapat sebarang kecuaian, perkara itu perlu dikenal pasti dan diperbetulkan segera bagi memelihara integriti serta reputasi sistem keselamatan penerbangan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee menggesa agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk pengendali keselamatan lapangan terbang, polis dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap protokol saringan sedia ada, khususnya petugas lapangan terbang dan kru penerbangan bagi memastikan tiada sesiapa dikecualikan daripada prosedur keselamatan yang ketat.

Beliau berkata keyakinan orang ramai terhadap keselamatan penerbangan negara tidak boleh dikompromi, dan mengulangi bahawa prosedur keselamatan yang ketat perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa sebarang pengecualian.

Juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

-- BERNAMA