Am 05/08/2026 02:16 PM

UiTM Diiktiraf Pusat Verifikasi Kualiti Oleh MQA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UiTM Diiktiraf Pusat Verifikasi Kualiti Oleh MQA
Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) secara rasmi diiktiraf sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) selepas mendapat kelulusan penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata keputusan bersejarah itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Pembelajaran Sepanjang Hayat MQA pada 3 Julai lepas.

Beliau berkata melalui pengiktirafan itu, mandat pengurusan QVC diselaraskan dan diterajui secara terancang oleh Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), entiti utama yang bertanggungjawab menguruskan jaminan kualiti akademik universiti.

“Di bawah tadbir urus InQKA, UiTM dipertanggungjawabkan menjalankan penilaian verifikasi kualiti bagi Stand-alone Micro-credentials (SAMC) merangkumi peringkat Sijil (Tahap 3) hingga Ijazah Kedoktoran (Tahap 8) dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Shahrin berkata pengiktirafan itu merupakan manifestasi komitmen berterusan UiTM dalam merealisasikan aspirasi Pelan Strategik UiTM 2030, terutamanya memacu kecemerlangan akademik dan memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat. 

“Pengiktirafan daripada MQA ini bukan sahaja satu penghormatan besar malah bukti kepercayaan terhadap kualiti dan tadbir urus akademik UiTM. 

“Ia sejajar dengan visi UiTM 2030 untuk meletakkan universiti ini di persada global melalui penawaran pendidikan yang anjal, relevan dengan industri, serta inklusif untuk semua lapisan masyarakat," katanya. 

Shahrin berkata pengiktirafan berkenaan turut mengukuhkan peranan UiTM sebagai peneraju mikro-kredential negara dengan memastikan penawaran kursus pendek di Malaysia memenuhi piawaian kualiti yang ketat.

Beliau berkata pengiktirafan itu turut memudahkan proses pengiktirafan kemahiran bagi tenaga kerja tempatan dan antarabangsa, di samping membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula kemahiran secara fleksibel daripada tahap Sijil hingga Kedoktoran

“Kejayaan berkenaan membuktikan peranan UiTM sebagai pemangkin transformasi pendidikan negara dalam usaha melahirkan modal insan berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia demi kesejahteraan negara,” katanya.

-- BERNAMA