SEPANG, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta bagi pembangunan sukan angkat berat tahun ini, namun sedia mempertimbangkan permohonan tambahan RM1 juta setahun yang disuarakan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).
Menteri berkenaan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata peruntukan sedia ada bagi 2026 itu merangkumi kos pembangunan atlet, jurulatih serta melibatkan program Road to Gold (RTG), Podium, Pelapis dan bakat akar umbi.
“Saya telah menghubungi Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat dan beberapa persatuan angkat berat untuk berbincang lebih lanjut tentang perkara tersebut (permohonan RM1 juta). Saya tahu satu daripadanya disebabkan kos atau gaji jurulatih dan sebagainya. Kita akan membuat perbincangan mendalam untuk ditetapkan sebab akhirnya kita ingin teroka sukan yang mampu menyumbang pingat emas pertama Olimpik.
"Insya-Allah angkat berat ini menjadi antara sukan yang kita fokus untuk pembangunannya dan kita akan mengadakan perbincangan lebih lanjut untuk mengetahui tentang perincian kewangan tambahan yang diperlukan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kontinjen Sukan Komanwel Glasgow di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Beliau berkata ketika ini, terdapat dua atlet angkat berat berada di bawah program RTG, lapan atlet Program Podium dan dua lagi dalam Program Pelapis.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq turut memberikan komitmen untuk meneliti isu kebajikan jurulatih peringkat negeri yang berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kelangsungan prestasi sukan angkat berat.
"Itu antara langkah yang perlu kita laksanakan dengan segera supaya kita dapat mencari penyelesaian. Kita lihat sukan ini ialah sukan masa depan yang mampu memberikan kemenangan besar untuk kita, jadi kebajikan jurulatih juga perlu dipandang oleh pihak kementerian dan persatuan," katanya.
Angkat berat menjadi sukan paling menyerlah pada temasya kali ini dengan menyumbang lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus membantu kontinjen negara melepasi sasaran awal dengan kutipan keseluruhan lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.
-- BERNAMA