KUALA TERENGGANU, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 222 motosikal yang disita sepanjang program RXZ Members 8.0 pada Jumaat dan Sabtu lalu diserahkan semula kepada pemilik masing-masing selepas proses saman dan dokumentasi selesai.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata proses penyerahan motosikal berkenaan berjalan lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan dilakukan secara berperingkat pada Ahad serta semalam.
Beliau berkata kebanyakan motosikal yang disita tidak terlibat dalam sebarang kejadian jenayah, sebaliknya tindakan itu dibuat atas kesalahan serta pelanggaran undang-undang jalan raya seperti pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, perlindungan insurans dan brek belakang.
"Pemilik motosikal telah mengakui kesalahan lalu lintas yang dilakukan. Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada penganjuran himpunan RXZ Members akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menghormati minat serta aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.
Bagaimanapun, JPJ Terengganu menegaskan aspek keselamatan serta kepentingan awam perlu diberi keutamaan dalam setiap penganjuran aktiviti permotoran berskala besar.
Menurut agensi itu, pengukuhan budaya keselamatan membabitkan peserta, penganjur dan agensi berkaitan perlu dipertingkat bagi memastikan kelancaran setiap program.
"JPJ Terengganu mengambil serius kenyataan Ketua Pengarah Datuk Aedy Fadly Ramli berhubung aduan masyarakat terhadap segelintir peserta RXZ Members 8.0 yang menunggang secara tidak selamat, menyebabkan kesesakan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.
"Oleh itu, JPJ Terengganu akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas, berhemah dan berasaskan risiko, khususnya terhadap kesalahan yang menjejaskan keselamatan, pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi serta tindakan menunggang secara berbahaya bagi memastikan setiap aktiviti berlangsung dengan selamat," katanya.
-- BERNAMA