Am 04/08/2026 07:21 PM

Berita-berita Ringkas Dewan Negara: 4 Ogos

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Berita-berita Ringkas Dewan Negara: 4 Ogos

RM3 JUTA LAKSANA 22 PROJEK BEKALAN AIR ORANG ASLI TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 22 projek bekalan air di perkampungan Orang Asli tahun ini menerusi Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata projek itu melibatkan kerja menaik taraf sistem, menambah baik sistem perpaipan dan menyiapkan telaga tiub.

"Sepanjang RMK12 dari 2021 hingga 2025, sebanyak RM31.67 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan 258 projek sistem rawatan air di perkampungan Orang Asli," katanya menjawab soalan Senator Shahrol Wizan Sulong mengenai langkah kerajaan memastikan setiap komuniti Orang Asli mendapat akses kepada bekalan air bersih yang selamat pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Rubiah berkata daripada keseluruhan 853 perkampungan Orang Asli di Semenanjung sebanyak 729 kampung telah menikmati bekalan air bersih, manakala projek bekalan air bagi baki 124 kampung akan dilaksanakan secara berfasa. 

-- BERNAMA 

 

149 ZON PENGELUARAN MAKANAN DI BAWAH KERAJAAN NEGERI DIWARTAKAN

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 149 daripada 176 zon pengeluaran makanan kekal di bawah kerajaan negeri telah diwartakan setakat ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perikanan (DOF) bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti, membangunkan serta mewartakan kawasan berpotensi, termasuk di pinggir bandar. 

“Semua Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) dan Projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) dikawal selia ketiga-tiga jabatan berkenaan, selain prestasi penyewa tanah dinilai secara berkala dan bimbingan teknikal disediakan bagi memastikan tiada pengusaha terpinggir,” katanya.

Chan menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai langkah Kerajaan Persekutuan memastikan pengusaha pertanian dan pekebun tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan inisiatif itu pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

-- BERNAMA

 

KERAJAAN BELUM CADANG WUJUD DANA PENDIDIKAN AUTOMATIK UNTUK BAYI

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan belum bercadang memperkenalkan skim pelaburan atau Dana Pendidikan Nasional secara automatik bagi setiap bayi yang dilahirkan, namun akan menilai cadangan memperluas akses kepada simpanan pendidikan tinggi, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata cadangan menyediakan sumbangan permulaan kerajaan perlu mengambil kira kemampanan fiskal, impak kewangan jangka panjang serta keberkesanan pelaksanaan.

"Kalau kerajaan memulakan simpanan awal sebanyak RM1,000 bagi setiap bayi kelahiran, dalam tempoh 18 tahun dengan dividen empat peratus, simpanan tersebut hanya mampu mencecah lebih kurang RM2,000 sekiranya tiada sebarang deposit dibuat oleh ibu bapa," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Adam Adli menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan satu skim pelaburan atau dana pendidikan nasional bagi setiap bayi yang dilahirkan, khususnya daripada keluarga B40 dan M40.

-- BERNAMA