IPOH, 3 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 123 Sekolah Inspirasi di Perak akan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi bagi memperkukuh kualiti pendidikan selepas menerima peruntukan keseluruhan RM12.3 juta di bawah inisiatif Reformasi Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) KPM Salmah Abd Murad berkata setiap sekolah yang dipilih menerima peruntukan RM100,000, melibatkan 60 sekolah menengah dan 63 sekolah rendah di negeri ini.
Beliau berkata penyerahan surat pemerkasaan peningkatan mutu sekolah itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan reformasi sekolah di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
“Sebanyak 123 sekolah di Perak dipilih dan setiap sekolah menerima peruntukan RM100,000, menjadikan keseluruhan RM12.3 juta bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Reformasi Sekolah.
“Peruntukan ini memberi fokus kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran, pemerkasaan kepimpinan sekolah, pembangunan profesionalisme guru dan paling penting ialah meningkatkan kemenjadian murid,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Prakarsa Peningkatan Mutu Sekolah Bawah Reformasi Sekolah di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.
Salmah berkata sekolah yang menerima peruntukan itu akan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi bagi meningkatkan pencapaian murid, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata sekolah juga diberi fleksibiliti merancang program bersesuaian termasuk meningkatkan pembangunan sahsiah murid, memperkukuh profesionalisme guru serta mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif dan menarik.
“Program-program ini sebenarnya telah dirancang oleh sekolah, namun dengan sokongan peruntukan ini mereka dapat melaksanakannya pada skala lebih besar dan memberi impak lebih tinggi.
“Antaranya termasuk menceriakan persekitaran sekolah dan bilik darjah supaya lebih menarik, sekali gus menggalakkan kehadiran murid serta meningkatkan minat mereka untuk belajar,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan sekolah, Salmah berkata semua sekolah penerima dikenal pasti berdasarkan penilaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).
Sementara itu, beliau berkata KPM turut menggalakkan perkongsian kepakaran antara sekolah, termasuk melibatkan Guru Cemerlang dan sekolah yang mempunyai amalan terbaik bagi membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah penerima.
Katanya inisiatif itu melibatkan 1,500 sekolah di seluruh negara, dengan penyaluran peruntukan bermula bulan ini dan dijangka digunakan sepenuhnya oleh sekolah sebelum penghujung tahun.
-- BERNAMA