Am 03/08/2026 04:03 PM

TVET Main Peranan Penting Lahirkan Modal Insan Berkemahiran Tinggi, Kreatif - Raja Perlis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TVET Main Peranan Penting Lahirkan Modal Insan Berkemahiran Tinggi, Kreatif - Raja Perlis
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail

ARAU, 3 Ogos (Bernama) -- Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan amat penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah inovasi bukan lagi satu pilihan dalam dunia yang sentiasa berubah, tetapi menjadi asas kepada kemajuan dan daya saing negara.

Baginda bertitah perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan pendigitalan mengubah landskap pekerjaan serta industri.

“Saya berharap budaya inovasi akan terus dipupuk dalam kalangan warga Politeknik dan para graduan. Inovasi bukan sekadar mencetuskan idea baharu, tetapi menterjemahkan idea tersebut kepada penyelesaian yang memberikan manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian bersempena dengan Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di sini hari ini.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah graduan tidak seharusnya sesekali mengabaikan nilai murni, dengan ilmu dan kemahiran hendaklah sentiasa dipandu oleh akhlak mulia dan integriti tinggi serta semangat cinta akan negara dalam mengejar kecemerlangan. 

“Graduan yang cemerlang bukan sahaja dinilai melalui kepakaran yang dimiliki, tetapi juga melalui kejujuran, amanah dan keperibadian yang baik … teruslah melangkah dengan penuh keyakinan, memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki serta menjadi insan yang memberikan manfaat kepada masyarakat, negeri dan negara,” titah baginda.

Sementara itu, PTSS dalam satu kenyataan memaklumkan konvokesyen yang berlangsung hari ini hingga 9 Ogos menghimpunkan 6,104 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Pada sidang pertama istiadat konvokesyen hari ini, graduan Diploma Teknologi Digital daripada Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), PTSS Teerti Ganapathi Rao, 22, menerima Anugerah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

-- BERNAMA