KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Kepesatan Asia Tenggara dalam mempercepat aspek penerimagunaan piawaian bangunan hijau, peningkatan asas pembuatan, permintaan terhadap teknologi jimat tenaga dan kecekapan sektor pembinaan dan perindustrian, turut membuka peluang baharu bagi syarikat bahan binaan China mengembangkan operasi di serata rantau itu.
Nippon Paint China misalnya tidak terkecuali apabila melakukan penampilan julung kali di acara ARCHIDEX 2026 yang berlangsung pada 29 Julai hingga 1 Ogos 2026 dan mengetengahkan teknologi salutan cekap tenaga yang terbukti di pasaran selain penyelesaian pembuatan pintar dari China bagi menyokong pengembangan ke pasaran Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Operasinya Dragon Sun berkata syarikat itu mempamerkan pelbagai inovasi, termasuk salutan penyejukan sinaran jimat tenaga serta sistem penjimatan tenaga aerogel dwi-teras yang direka khusus bagi menangani keadaan iklim panas serta kemudahan yang menggunakan tenaga secara intensif.
“Ini termasuk salutan penyejukan sinaran yang mampu mengurangkan suhu bangunan tanpa menggunakan tenaga tambahan.
“Sewaktu musim panas di Shanghai misalnya, penggunaan salutan ini pada bumbung kilang seluas 10,000 meter persegi, berjaya mengurangkan penggunaan tenaga bagi tujuan penyejukan bulanan sebanyak hampir 25 peratus dan menjimatkan kira-kira RMB72,000 (hampir RM43,000) bagi kos elektrik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di reruai Nippon Paint China di ARCHIDEX 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Beliau berkata sejajar dengan kedudukan Asia Tenggara yang menerima cahaya matahari dengan lebih ketara, manfaat penjimatan tenaga teknologi ini dijangkakan lebih signifikan selain menawarkan potensi pengurangan kos lebih besar bagi sektor pembuatan rantau ini.
Bagi ruang kediaman dan awam, Nippon Paint mengetengahkan sistem pengalisan air bersepadu yang sesuai untuk keadaan lembap dan hujan, salutan fotokatalitik, panel hiasan bersepadu jimat tenaga selain sistem lantai akustik.
Menurut Sun, sektor pembuatan maju menyaksikan penawaran sistem lantai mortar poliuretana (PU) antistatik ultra yang tahan haus bagi memenuhi keperluan dari segi kerataan lantai, bercirikan antistatik dan ketahanan terhadap kehausan.
Syarikat itu juga berkongsi mengenai penyelesaian bagi kemudahan kegunaan industri seperti elektronik berketepatan tinggi, gudang automatik dan tenaga baharu.
Selain itu, Nippon Paint China menampilkan penyelesaian salutan yang merentasi empat bidang utama seperti pembuatan pintar, penulenan udara, penjimatan tenaga dan pengurangan karbon serta perumahan berkualiti tinggi.
Syarikat berkenaan berkongsi penawarannya di ruang Zon Pameran China acara berkenaan bagi memenuhi jemputan Pusat Pembangunan Sains, Teknologi dan Perindustrian di bawah Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China.
Dalam pada itu di luar acara itu, Sun yang dipelawa menyampaikan ucaptama pada satu simposium untuk syarikat-syarikat China, telah menegaskan kepentingan menembusi pasaran global bukan setakat bagi tujuan eksport produk, sebaliknya memerlukan rantaian bekalan berdaya tahan serta perkhidmatan setempat yang mampu menyokong keperluan pelanggan.
“Hampir sedekad menyokong syarikat-syarikat China mengembangkan operasi ke luar negara, kami telah membangunkan model produk dan perkhidmatan yang menggabungkan kepakaran teknikal, bekalan tempatan serta kerjasama rentas pasaran.
“Kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan lebih banyak rakan di serata rantaian nilai untuk menyokong pengembangan perniagaan China,” katanya.
Nippoin Paint yang mendapat sokongan jaringan Kumpulan NIPSEA membabitkan 26 kemudahan pembuatan di serata ASEAN, juga terus menyokong projek komersial, kediaman, perindustrian dan infrastruktur di serata rantau itu.
Kemunculan pertama syarikat itu di ARCHIDEX menjadi satu langkah penting dalam menghubungkan inovasi dibangunkan di China dengan persekitaran dan keperluan pembangunan di Asia Tenggara selain menyokong kerjasama merentasi rantaian nilai sektor pembinaan.
-- BERNAMA