CHUKAI, 3 Ogos (Bernama) -- Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah di Bukit Gelugor, dekat Kerteh yang berlaku sejak Jumaat lepas, berjaya dikawal selepas operasi pemadaman memasuki hari keempat pada hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh Mokhtar Dollah berkata kebakaran tersebut melibatkan kawasan seluas 0.9 hektar dan setakat ini kira-kira 0.6 hektar berjaya dipadamkan manakala baki 0.3 hektar masih dalam proses pemadaman.
"Operasi pemadaman dilakukan menggunakan kaedah ‘melemaskan’ api dengan membuat timbunan tanah di kawasan yang terbakar selain semburan air bagi menyejukkan kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman melibatkan sembilan anggota bomba, 15 anggota Majlis Perbandaran Kemaman, serta masing-masing dua anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis.
Mokhtar berkata kerja pemadaman api turut dibantu dua lori tangki dan sebuah jentera bomba kompak.
"Tahap pencemaran asap di sekitar kawasan tapak pelupusan sampah itu juga sentiasa dipantau JAS," katanya sambil memberitahu punca kebakaran masih dalam siasatan dan kejadian itu kali pertama dilaporkan berlaku di lokasi tersebut pada tahun ini.
-- BERNAMA