Dunia 03/08/2026 04:13 PM

Cuba Sekali Lagi Dilanda Gangguan Bekalan Elektrik Selepas Grid Kuasa Lumpuh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cuba Sekali Lagi Dilanda Gangguan Bekalan Elektrik Selepas Grid Kuasa Lumpuh
--REUTERS

ANKARA, 3 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Cuba sekali lagi mengalami gangguan bekalan elektrik di seluruh negara selepas grid elektrik negara itu lumpuh, lapor Anadolu Ajansi yang memetik CNN.

Syarikat utiliti elektrik milik kerajaan memaklumkan bahawa grid tenaga nasional mengalami kegagalan, sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus di seluruh negara, menurut laporan CNN pada Ahad.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca grid berkenaan tidak berfungsi.

Gangguan bekalan elektrik itu merupakan yang pertama direkodkan pada Ogos, selepas tiga kejadian serupa berlaku di seluruh negara pada Julai, ketika negara Caribbean itu terus berdepan tekanan terhadap infrastruktur tenaganya.

Gangguan bekalan elektrik berjadual semakin menjejaskan kehidupan harian penduduk, dengan ramai menggunakan elektrik sebaik sahaja bekalan disambung semula untuk memasak, membasuh, mengakses Internet dan menyejukkan kediaman mereka ketika musim panas berikutan ketidakpastian mengenai tempoh bekalan elektrik akan terus tersedia.

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan beberapa langkah bagi mengurangkan kekurangan bekalan tenaga serta menggalakkan aktiviti ekonomi.

Perdana Menteri Manuel Marrero Cruz berkata pada Julai yang pihak berkuasa meluluskan usaha sama pelaburan asing pertama negara itu bagi mengimport dan menjual bahan api.

Menurut laporan itu, hampir 200 syarikat turut diberi kebenaran untuk terlibat dalam pengedaran borong bahan api.

Ahli Parlimen turut meluluskan langkah yang membolehkan pelaburan swasta dalam sektor pelancongan.

"Hasilnya akan dicapai secara berperingkat," kata Marrero. "Bermula sekarang, fasa yang paling penting dan mungkin paling mencabar, sedang bermula."

Kerajaan mengakui bahawa pembaharuan yang dilaksanakan adalah secara berperingkat dan memerlukan masa sebelum menghasilkan perubahan yang ketara.

-- BERNAMA-ANADOLU