KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah pada Ahad menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya masih terdapat jemaah haji Malaysia berada di Arab Saudi di bawah pengurusan Musim Haji 1447H/2026M.
Dalam satu kenyataan, pejabat itu menegaskan bahawa semua jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1447H/2026M telah selamat pulang ke tanah air mengikut jadual yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji.
"Tiada jemaah haji Malaysia yang masih berada di Arab Saudi di bawah pengurusan Musim Haji 1447H/2026M," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap satu hantaran di media sosial yang mendakwa masih terdapat jemaah haji Malaysia berada di negara berkenaan.
Sehubungan itu, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan.
Orang ramai juga disaran sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
-- BERNAMA