Am 03/08/2026 01:48 PM

Pelumba Tempatan Harus Bijak Manfaat Kelebihan Kejar Podium LTdL26

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelumba Tempatan Harus Bijak Manfaat Kelebihan Kejar Podium LTdL26
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Pelumba tempatan perlu memanfaatkan kelebihan mengetahui lebih awal laluan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) edisi ke-30 bagi meraih keputusan lebih baik dalam perlumbaan yang dianggap antara paling mencabar sejak diperkenalkan pada 1996.

Ketua Pegawai Operasi LTdL26 Emir Abdul Jalal berkata pelumba tempatan perlu mencontohi bekas pelumba kebangsaan Hong Kong, Wong Kam Po yang mengukir sejarah tersendiri apabila muncul pelumba Asia pertama menang peringkat dalam LTdL apabila menguasai pendakian ke Cameron Highlands pada LTdL 2000.

“Apabila diberitahu dia terpilih untuk mewakili pasukan gabungan Telekom Malaysia All Stars, Kam Po datang hampir sebulan lebih awal dan ‘bertapa’ di Cameron untuk berlatih dan mempelajari selok belok pendakian di sana.

“Tidak hairan, Kam Po yang bukanlah seorang pendaki tulen, dia bijak memilih strategi terbaik. Dia juga tahu bila harus berada dalam kumpulan depan dan bila dia sepatutnya membuat pemecahan secara solo dan bertahan hingga menang peringkat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun Nur Aiman Mohd Zariff berjaya memenangi jersi Raja Bukit sebanyak dua kali pada 2020 (Sapura Cycling Team) dan 2022 (Terengganu Cycling Team), pelumba itu menggunakan strategi mengumpul mata di zon pendakian agak mudah di setiap laluan dan bukannya di pendakian sukar di Cameron Higlands atau Genting Highlands.

Emir berkata pakar pecut handalan kelahiran Itali, Alessandro Petacchi pernah muncul pemenang jersi Raja Bukit di akhir edisi LTdL1999 ketika mewakili pasukan Scrigno-Gaerne dengan strategi yang sama.

“Namun, dengan mata maksimum 25 di puncak Cameron Highlands dan Genting Highlands yang berstatus Hors kali ini, taktik memenangi jersi Raja Bukit dengan strategi seperti ini dilihat amat sukar. 

“Maka di sinilah pelumba tempatan mempunyai kelebihan untuk menguji terlebih dulu laluan LTdL26 ini sebelum  mencorak dan mencongak strategi terbaik untuk mereka gunakan nanti,” katanya.

Pada edisi ke-29 tahun lepas, pelumba terbaik tempatan adalah Tsen Ren Bao yang mewakili pasukan benua Australia, St George Cycling Team di tangga ke-34 keseluruhan manakala pelumba pasukan tempatan adalah Kee Zhe Yie (tangga ke-43).

Satu-satunya podium yang diraih ialah menerusi Muhammad Nur Aiman Rosli yang menduduki tempat kedua pada Peringkat 7 dari Melaka ke Medini, selepas gigih berkayuh secara solo sejauh hampir 40km sebelum dinafikan Zeb Kyffin (Unibet Rocket Tietema) pada kira-kira 300m terakhir. 

LTdL26 yang berstatus 2ProSeries dalam kalendar Asia-UCI dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Negara (PKBM), membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,258.5km.

LTDL edisi kali ini bermula pada 27 Sept hingga 4 Okt dengan laluan berbukit baharu di Gunung Jerai (Peringkat 2), selain cabaran tradisi pendakian Cameron Highlands (Peringkat 4) dan Genting Highlands (Peringkat 5).

-- BERNAMA