SHAH ALAM, 3 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan terdapat rakyat tempatan yang dipercayai melindungi pendatang tanpa izin, termasuk etnik Rohingya sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan.
Amirudin berkata kewujudan pakatan tidak wajar antara segelintir penduduk tempatan dengan golongan terbabit menjadi antara faktor yang menghalang usaha pihak berkuasa mengambil tindakan secara berkesan.
“Bila kita ambil tindakan dan sebagainya, adanya elemen lokal yang mempertahankan dan melindungi mereka. Ini antara realiti yang harus kita akui bagaimana ada kewujudan persekongkolan yang tidak wajar di antara rakyat tempatan dengan pihak-pihak terbabit.
“Jadi penguatkuasaan harus juga dilibatkan bukan hanya kepada pihak yang terbabit, tetapi mereka yang terlibat bersekongkol malah mengambil kesempatan atas situasi terdesak mereka untuk tinggal dan survive (di Malaysia),” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata demikIan bagi menjawab soalan tambahan Datuk Johan Abd Aziz (BN-Dusun Tua) berhubung wujudnya isu pendatang asing dan warga Rohingya di Hulu Langat.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang mengesahkan etnik tersebut sebagai pelarian bukan dikeluarkan oleh kerajaan tetapi oleh suruhanjaya itu.
“Namun begitu, ia bukanlah lesen untuk mereka sewenang-wenangnya berniaga, tinggal, memiliki aset dan sebagainya. Itu diperakui di peringkat Persekutuan mahu pun peringkat negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan berdasarkan semakan di Pejabat Daerah dan Tanah, sebanyak 9,515 individu etnik Rohingya direkodkan di Hulu Langat setakat ini.
-- BERNAMA