PEKAN, 3 Ogos (Bernama) -- Seorang juruteknik syarikat pembekal barangan dan mesin perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga individu, Jun lepas.
Syed Muhammad Izzat Aiman Syed Ahmad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.
Dia didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max secara melulu di KM67 Jalan Kuantan-Segamat pada 5.30 petang, 19 Jun sehingga menyebabkan kematian Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, Dhea Sofia Mohamad Zekry Zuhairy, 2, dan Azaharuddin Mohd Ali, 46.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kamisah Ismail memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dan menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Muhamad Izwan Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan pada kadar munasabah dengan alasan isteri anak guamnya kini hamil tiga bulan, selain tertuduh hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin setiap Rabu pada 9 pagi.
Lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga kes selesai, selain mahkamah menetapkan 18 Sept untuk sebutan semula kes.
Pada 19 Jun, tiga individu termasuk seorang doktor maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan.
-- BERNAMA