Am 03/08/2026 10:24 AM

Kepercayaan, Tadbir Urus Dan Budaya Pacu Pelaksanaan AI Malaysia Ke Fasa Seterusnya - Workday

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kepercayaan, Tadbir Urus Dan Budaya Pacu Pelaksanaan AI Malaysia Ke Fasa Seterusnya - Workday
Pengurus ASEAN Workday Jess O’Reilly

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk mengukuhkan statusnya sebagai hab kewangan dan teknologi serantau sekiranya syarikat beralih daripada projek perintis kecerdasan buatan (AI) kepada usaha membangunkan sistem boleh dipercayai, tadbir urus kukuh serta budaya kerja yang menggalakkan penerimaan dan penggunaan teknologi itu.

Pengurus ASEAN Workday Jess O’Reilly ketika ditemui Bernama di sela-sela lawatannya ke Kuala Lumpur berkata Malaysia memiliki asas digital yang kukuh serta menunjukkan kesungguhan dalam kalangan perusahaan untuk memodenkan kaedah pengurusan sumber manusia dan kewangan.

Ditubuhkan pada 2005, Workday merupakan penyedia aplikasi awan perusahaan bagi bidang kewangan dan sumber manusia yang membantu organisasi mengurus tenaga kerja, kewangan serta perancangan menerusi platform bersepadu dipacu teknologi AI.

Syarikat berkenaan memberi perkhidmatan kepada lebih 11,500 organisasi di seluruh dunia, termasuk lebih 65 peratus daripada syarikat dalam senarai Fortune 500, dengan operasi merangkumi lebih 175 negara.

 

Melangkaui Projek Perintis dan Pembuktian Konsep

 

AI perlu dilihat sebagai medium meningkatkan produktiviti, sekali gus membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugasan yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi berbanding proses berulang, katanya.

Dalam sektor kewangan, AI boleh digunakan untuk mengendalikan proses penyelarasan rutin, membolehkan petugas menumpukan perhatian kepada pengesanan anomali atau ketidakselarasan berbanding meneliti setiap butiran transaksi. Dalam bidang pengambilan pekerja pula, AI berupaya menyaring sejumlah besar resume bagi mengenal pasti calon paling berpotensi.

“Sebahagian besar pelanggan yang menggunakan Workday sudah mempunyai asas kukuh untuk memahami tenaga kerja dan kedudukan kewangan mereka. Kini, menerusi agenda AI, kami membangunkan ejen AI berdasarkan asas tersebut bagi meningkatkan keupayaan mereka serta menjadikan operasi lebih cekap,” katanya.

Bertitik tolak daripada asas itu, O'Reilly berkata banyak perusahaan di Malaysia kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dengan membangunkan keupayaan AI berasaskan sistem sedia ada bagi pengurusan sumber manusia dan kewangan, berbanding menggantikan keseluruhan sistem berkenaan.

“Ketika ini, penggunaan AI masih banyak tertumpu kepada projek perintis dan pembuktian konsep. Terdapat keinginan yang tinggi, khususnya dalam kalangan pemimpin kanan organisasi, untuk beralih kepada pelaksanaan AI pada skala lebih besar, dengan pemilikan lebih menyeluruh serta impak lebih signifikan,” katanya.

Bagaimanapun, apabila organisasi mula melaksanakan AI melangkaui projek perintis dan menggunakannya dalam fungsi perniagaan yang kritikal, aspek kepercayaan, tadbir urus dan akauntabiliti menjadi semakin penting.

 

Kepercayaan Sebagai Keutamaan

 

Menurut O'Reilly, aspek kepercayaan perlu kekal sebagai teras dalam pelaksanaan AI. Walaupun AI bersifat kebarangkalian (probabilistic), fungsi perniagaan yang kritikal seperti pembayaran gaji dan pengurusan kewangan memerlukan asas bersifat pasti (deterministic), disokong tadbir urus serta mekanisme kawalan yang kukuh.

Beliau berkata AI berasaskan kebarangkalian perlu diperkukuh dengan lapisan data dan kawalan yang boleh dipercayai serta bersifat pasti.

“Proses pembayaran gaji tidak boleh sekadar ‘mungkin betul’. Begitu juga proses penyelarasan akaun pada akhir bulan yang tidak boleh tersasar walaupun sebanyak USD10 atau USD100,” katanya.

O'Reilly berkata Workday mengklasifikasikan ejen AI kepada dua kategori iaitu “ejen terkawal” (lawful) dan “ejen tidak terkawal” (lawless). Ejen AI yang patuh beroperasi mengikut kebenaran akses serta mekanisme kawalan ditetapkan, manakala ejen AI tidak terkawal boleh mengakses maklumat tanpa sempadan atau sekatan yang jelas.

“Golongan yang skeptikal terhadap AI mempunyai alasan untuk bersikap demikian kerana mereka mungkin membayangkan pelaksanaan ejen AI dalam persekitaran tidak mempunyai kawalan. Namun, apabila AI dibangunkan berasaskan sistem yang mempunyai mekanisme perlindungan, kepercayaan, kawalan akses dan tadbir urus jelas, tahap keyakinan terhadap pelaksanaannya juga akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan perusahaan ketika ini lebih cenderung melabur pada lapisan hadapan, iaitu alat dan antara muka digunakan pengguna, tetapi masih belum menyelesaikan isu berkaitan asas sistem yang menyokong penggunaan AI.

O’Reilly berkata pelaksanaan AI berkesan memerlukan pelaburan terhadap komponen teras, iaitu data boleh dipercayai, ditadbir urus dengan baik dan dihimpunkan dalam satu platform bersepadu supaya ejen AI dapat beroperasi berasaskan satu sumber data yang konsisten serta boleh diyakini, bukan sistem yang berpecah-pecah.

 

Tadbir Urus Manusia dan Ejen AI Secara Bersepadu

 

O’Reilly berkata AI dan manusia akan semakin beroperasi secara bersama, memerlukan organisasi mengurus serta mentadbir urus ejen digital seperti mana mereka mengurus pekerja hari ini. Katanya, pendaftaran ejen AI perlu dilaksanakan seperti proses kemasukan pekerja baharu termasuk pemberian ID pekerja serta kebenaran akses mengikut skop tugas dan peranan masing-masing.

Beliau berkata visi Workday mengenai “sistem rekod ejen” akan membolehkan organisasi menyelia tenaga kerja manusia dan digital menerusi satu paparan bersepadu, di samping mengukur prestasi serta memastikan akauntabiliti bagi kedua-duanya.

Mengenai kebimbangan bahawa AI berpotensi menggantikan pekerjaan, beliau berkata manusia akan terus bertanggungjawab dalam proses membuat keputusan dan tadbir urus, manakala AI berperanan sebagai pemudah cara dan bukannya pengganti.

O'Reilly berkata pendekatan kini beralih daripada konsep “manusia dalam gelung”, iaitu manusia perlu meluluskan setiap tindakan kepada “manusia mengawal gelung”, yang menyaksikan manusia mentadbir serta memantau aliran kerja tanpa perlu campur tangan pada setiap peringkat.

“Manusia sentiasa bertanggungjawab, bermakna kita perlu memainkan peranan besar dalam mereka bentuk sistem, mentadbir urus serta memantau apa yang berlaku,” katanya.

 

Budaya dan pemerkasaan sebagai elemen pelengkap

 

O'Reilly berkata organisasi perlu membentuk budaya yang mendorong penggunaan AI daripada peringkat atasan, dengan pemimpin menggalakkan pekerja memanfaatkan alat AI bagi meningkatkan produktiviti serta analisis, dan bukan menganggapnya sebagai pilihan sampingan.

Beliau berkata pasukannya digalakkan menggunakan AI sebelum menghadiri mesyuarat bagi memperoleh pandangan awal, membolehkan perbincangan lebih tertumpu kepada analisis dan penyelesaian berbanding pengumpulan maklumat permulaan.

Melihat prospek Malaysia secara positif, O'Reilly berkata organisasi perlu mempergiat pelaburan dalam latihan dan pemerkasaan bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi AI.

Beliau berkata langkah itu penting bagi menangani cabaran dikenal pasti kerajaan dalam pelaksanaan AI, termasuk jurang kemahiran dan kelemahan pengawasan tadbir urus. Menurutnya, asas data boleh dipercayai serta sistem kawalan kukuh mampu menyokong pembangunan AI yang selamat, boleh dipercayai dan ditadbir urus dengan baik, terutama untuk perusahaan sederhana dan berkembang yang berisiko ketinggalan.

Beliau berkata usaha menangani jurang pemerkasaan itu amat penting ketika Malaysia semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau pilihan bagi bidang kewangan dan teknologi, sekali gus menarik peningkatan jumlah operasi antarabangsa serta aktiviti penyumberan luar.

“Terdapat harapan yang tinggi agar Malaysia tampil ke depan dan mampu memenuhi janji tersebut.

“Apabila permintaan berkaitan peranan sebagai hab kewangan dan teknologi ini semakin berkembang, bagaimana kita mengurus teknologi, tadbir urus serta risiko? Terdapat piawaian yang perlu dipenuhi dan pastinya banyak pihak akan memberi perhatian terhadap perkara itu,” katanya.

Menurut beliau, usaha merealisasikan potensi berkenaan memerlukan syarikat beralih daripada melihat teknologi sebagai ancaman terhadap keselamatan pekerjaan kepada meneroka ejen AI sebagai alat untuk mencapai pertumbuhan yang diperlukan dalam pasaran semasa.

Di rantau Asia Tenggara, Workday kini beroperasi di enam pasaran termasuk Malaysia. Antara pelanggan Workday yang berpangkalan di Malaysia ialah AirAsia, BPMB dan Sime Darby.

Syarikat itu turut memperluas keupayaan AI menerusi teknologi berasaskan ejen yang direka untuk mengautomasikan tugasan rutin serta meningkatkan keupayaan membuat keputusan di peringkat perusahaan.

-- BERNAMA