KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih selepas mencatatkan jualan bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM11.1 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Menurut bank pelaburan itu dalam Laporan Aliran Dana mingguannya, institusi asing merupakan pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan pada minggu tersebut, dengan aliran masuk terbesar dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM131.5 juta, diikuti Khamis (RM76.2 juta) dan Isnin (RM200,000).
Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah perkhidmatan kewangan (RM216.5 juta), diikuti penjagaan kesihatan (RM148 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM107.4 juta).
“Bagaimanapun, aliran keluar asing dicatatkan pada Selasa sebanyak -RM167.8 juta dan Rabu (-RM29 juta), dengan Selasa mencatatkan aliran keluar bersih harian terbesar.
“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah produk perindustrian dan perkhidmatan (-RM191.7 juta), teknologi (-RM164 juta) dan perladangan (-RM32.8 juta),” menurutnya.
Sementara itu, MBSB IB memaklumkan institusi tempatan kembali kepada belian bersih selepas tiga minggu berturut-turut mencatatkan jualan bersih, merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM48.1 juta.
“Pelabur runcit kembali mencatat jualan bersih selepas merekodkan belian bersih pada minggu sebelumnya, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak -RM59.1 juta,” menurutnya.
Menurut bank pelaburan itu, purata jumlah dagangan harian meningkat secara menyeluruh, dengan purata jumlah dagangan harian institusi asing dan tempatan, masing-masing meningkat 29.9 peratus dan 3.6 peratus manakala pelabur runcit merosot 5.6 peratus.
-- BERNAMA