KOTA BHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Dalam usaha memperkasakan pendidikan khas agar lebih relevan dengan keperluan murid masa kini, pembelajaran secara digital dan gamifikasi merupakan antara pendekatan terbaik yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas.
Pengasas pusat pendidikan Bizara Wan Zakaria Wan Abu Bakar berkata pendekatan ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi ke dalam bilik darjah, malah memberi fokus agar murid berkeperluan khas dapat memahami pembelajaran dengan lebih berkesan mengikut kemampuan dan gaya pembelajaran masing-masing.
"Bagi murid berkeperluan khas, pendekatan ini sangat signifikan kerana kebanyakan mereka mempunyai gaya pembelajaran visual dan memerlukan rangsangan yang pelbagai untuk mengekalkan perhatian apabila pembelajaran disampaikan secara interaktif.
"Teknologi berfungsi sebagai medium yang memperkukuh proses pengajaran guru, malah gamifikasi turut membantu meningkatkan motivasi, tempoh tumpuan, daya ingatan dan keyakinan diri apabila murid berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan," katanya ketika ditemui Bernama di Bizara Inter Care Centre di sini hari ini.
Wan Zakaria berkata penggunaan papan pintar pula membolehkan guru menyampaikan pembelajaran secara visual dan interaktif melalui gambar, video, animasi, simulasi serta aktiviti sentuhan yang meningkatkan penglibatan murid di dalam kelas.
"Bagi murid berkeperluan khas seperti autisme, disleksia, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta kelewatan perkembangan, pendekatan visual dan interaktif ini membantu meningkatkan fokus, kefahaman, komunikasi serta keyakinan diri dalam proses pembelajaran," katanya.
Beliau berkata gamifikasi merupakan pendekatan pendidikan yang menggunakan aplikasi elemen permainan seperti cabaran, ganjaran, markah, tahap pencapaian dan maklum balas segera ke dalam proses pembelajaran.
"Pendekatan ini menjadikan murid belajar melalui pengalaman yang menyeronokkan tanpa mengabaikan objektif pembelajaran.
"Berbeza dengan permainan biasa, setiap aktiviti gamifikasi dirancang berdasarkan hasil pembelajaran yang ingin dicapai. Murid bukan sahaja bermain, malah mereka menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mengulang latihan dan menerima maklum balas secara langsung," katanya.
-- BERNAMA