Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Kehilangan peti suara akibat kanser laring bukan perkara mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu perlu menyesuaikan diri dengan cara baharu untuk bercakap dan menjalani kehidupan harian.
Bagi Ang Boon Kok, 51, sokongan rakan senasib menerusi The Malaysia Laryngectomee Association (MLA) banyak membantunya melalui fasa sukar itu selepas menjalani pembedahan membuang keseluruhan peti suara pada 2016.
“Apabila doktor memberitahu peti suara saya perlu dibuang, saya sangat takut kerana memikirkan tidak lagi boleh bercakap seperti biasa.
“Namun, selepas doktor memperkenalkan saya kepada MLA dan melihat pesakit lain yang menjalani pembedahan sama masih boleh berkomunikasi, saya mula rasa lebih tenang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Sambutan Hari Kanser Kepala dan Leher Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini baru-baru ini.
Bekas penyelia kilang pemprosesan kertas itu berkata sokongan rakan senasib menerusi MLA memberi gambaran mengenai kehidupan selepas pembedahan, selain menjadi platform buatnya dan keluarga mendapatkan panduan penjagaan pascapembedahan.
Kini, Ang turut berkongsi pengalaman, memberi nasihat dan sokongan kepada pesakit lain yang menjalani laringektomi menerusi MLA.
Laringektomi ialah pembedahan bagi membuang sebahagian atau keseluruhan peti suara, biasanya akibat kanser, kecederaan teruk atau masalah bernafas.
Mengimbas kembali detik sebelum disahkan menghidap kanser, Ang yang menetap di Pulau Pinang, berkata dia bermula dengan mengalami suara serak berpanjangan sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik pakar telinga, hidung dan tekak (ENT).
Namun, keadaan suara yang tidak menunjukkan perubahan mendorongnya mendapatkan pemeriksaan lanjut di HCTM sebelum ujian biopsi mengesahkan kewujudan ketumbuhan pada peti suaranya.
Ang yang mempunyai sejarah kanser dalam keluarga kemudiannya menjalani radioterapi sebagai rawatan awal, namun pemeriksaan susulan kira-kira enam bulan kemudian mendapati kanser berkenaan masih ada dan semakin membesar.
“Selepas dikesan kanser masih ada, doktor memaklumkan peti suara saya perlu dibuang.” katanya yang juga bukan seorang perokok.
Selepas pembedahan itu, Ang perlu belajar semula untuk berkomunikasi menggunakan prostesis suara, iaitu injap sehala kecil yang membolehkan udara dari paru-paru dialirkan bagi menghasilkan suara.
“Pada peringkat awal memang sukar kerana perlu membiasakan diri dengan cara bercakap yang baharu. Kadang-kadang, orang yang baru pertama kali mendengar suara saya sukar memahami apa yang dituturkan.
“Namun kini saya sudah biasa, keadaan kesihatan juga baik dan tidak lagi sakit. Keluarga serta rakan-rakan pun sudah biasa dengan cara saya bercakap,” katanya yang kini aktif melancong bersama-sama keluarga.
Pengalaman berdepan penyakit itu turut memberi inspirasi kepada keluarganya apabila ketiga-tiga anak perempuan Ang kini menceburi bidang penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Pakar Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher HCTM Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Lum Sai Guan berkata kanser laring menyerang bahagian peti suara dan boleh menjejaskan keupayaan pesakit untuk bercakap, menelan makanan serta bernafas sekiranya ketumbuhan semakin membesar.
Beliau berkata antara gejala terawal penyakit itu ialah suara serak berpanjangan atau perubahan kualiti suara yang berlarutan lebih tiga minggu, dengan merokok antara faktor risiko utama kanser laring selain pengambilan alkohol secara berlebihan.
“Jika dikesan pada peringkat awal, peti suara pesakit masih berpeluang diselamatkan menerusi rawatan radioterapi atau pembedahan laser tanpa perlu menjalani laringektomi total,” katanya.
-- BERNAMA