PARIS/MADRID/ATHENS/ISTANBUL, 1 Ogos (Bernama-dpa) -- Greece kekal dalam keadaan berjaga-jaga tahap tertinggi pada Sabtu ketika kebakaran hutan terus melanda beberapa kawasan, manakala satu lagi kebakaran kembali marak di selatan Perancis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pihak berkuasa perlindungan awam mengisytiharkan amaran merah bagi wilayah Athens dan kawasan sekitarnya berikutan risiko kebakaran hutan di sebahagian besar negara itu.
Keadaan paling kritikal dilaporkan kira-kira 60 kilometer di barat laut Athens apabila api merebak sepanjang beberapa kilometer.
Menurut laporan media, ratusan penduduk dipindahkan ke tempat selamat menggunakan bot.
Kebakaran turut melanda Semenanjung Peloponnese, dengan anggota bomba dilaporkan memerangi kebakaran di 73 lokasi pada petang Jumaat.
Satu lagi kebakaran besar tercetus di barat Athens sehingga menyebabkan penduduk di pinggir bandar Dasos dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Kebakaran besar juga masih berlaku di Crete. Walaupun keadaan sedikit reda, angin yang semakin kencang dikhuatiri menyebabkan api kembali marak dan menyukarkan operasi pemadaman dari udara.
Di selatan Perancis, antara Marseille dengan Cannes, kebakaran hutan kembali marak dan merebak dengan pantas pada Jumaat, memaksa kira-kira 2,500 penduduk berpindah.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 1,000 hektar kawasan terbakar dalam tempoh beberapa jam, manakala 720 anggota bomba dikerahkan setakat lewat Jumaat.
Perancis dan negara jirannya Sepanyol terus berusaha mengawal beberapa kebakaran hutan yang dipengaruhi suhu tinggi dan tumbuh-tumbuhan kering.
Saintis mengaitkan perubahan iklim dengan kejadian kebakaran hutan yang semakin kerap dan lebih dahsyat.
Türkiye turut berdepan kebakaran besar di beberapa kawasan.
-- BERNAMA-dpa