SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang pengantin perempuan tetap meluangkan masa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini dengan hadir ke pusat mengundi dengan persalinan pengantin berwarna merah jambu.
Pegawai Pemasaran Noor Farzana Masnoor, 26, hadir ke Pusat Pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kubang, Labu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu dengan ditemani suaminya Luqman Adam Sudirman, 27.
“Sebagai pasangan muda generasi Z, kami yakin tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia perlu diutamakan kerana bukan selalu kita mengundi. Mengundi juga amanah untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk masyarakat.
“Kami percaya kisah ini bukan sekadar tentang sebuah perkahwinan, tetapi tentang generasi muda yang menghargai hak dan tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pengalaman hadir mengundi dengan pakaian pengantin akan menjadi kenangan terindah yang tidak akan mereka lupakan.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16 layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA