KUALA TERENGGANU, 1 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes penjualan air ketum secara terbuka di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka, semalam.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 16 hingga 32 tahun itu, ditahan ketika pemeriksaan di kawasan susur keluar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), dekat Gong Badak, di Kuala Nerus pada 7.44 malam semalam.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas Toyota Hiace yang dinaiki suspek menemukan dua botol berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum dengan anggaran keseluruhan 600 mililiter (mm).
“Ketiga-tiga suspek bukan berasal dari Terengganu dan dipercayai datang ke negeri ini sempena program RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak.
“Siasatan awal mendapati air ketum dipercayai dibawa masuk dari luar Terengganu untuk kegunaan mereka sepanjang berada di negeri ini. Tiga suspek tersebut direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata ujian air kencing mendapati dua daripada tiga suspek berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata susulan tangkapan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu telah menjalankan pemeriksaan di tujuh rumah dan sebuah resort yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Bagaimanapun Mohd Khairi berkata hasil pemeriksaan, tidak menemukan sebarang barang atau bahan terlarang yang menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA