Am 01/08/2026 11:17 AM

Riyadh Air Pilih KLIA Pintu Masuk Pertama Ke Asia Tenggara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Riyadh Air Pilih KLIA Pintu Masuk Pertama Ke Asia Tenggara
Riyadh Air telah mengenal pasti Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama syarikat penerbangan itu di Asia Tenggara susulan permintaan perjalanan yang kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi, dengan rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada daripada tiga kali seminggu kepada penerbangan harian.

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Riyadh Air memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pertamanya di Asia Tenggara menerusi pelancaran perkhidmatan sulung tiga kali seminggu antara Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus memperkukuh hubungan udara antara Malaysia dan Arab Saudi.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan selain memudahkan perjalanan pelancong, hubungan udara yang lebih kukuh turut menyokong perdagangan, pelaburan dan hubungan dua hala yang lebih erat, di samping menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan antara kedua-dua negara.

"Laluan ini memenuhi keperluan pasaran perjalanan yang pelbagai, merangkumi pelancongan, perniagaan, pendidikan, perjalanan keagamaan serta kunjungan keluarga dan komuniti," menurutnya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata keputusan Riyadh Air menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama di Asia Tenggara menambah nilai kepada rangkaian antarabangsa KLIA yang semakin berkembang.

"Kuala Lumpur menyediakan akses kepada Riyadh Air ke nadi Asia Tenggara, manakala Riyadh sedang pesat membangunkan kedudukannya sebagai hab penerbangan antarabangsa.

"Seiring dengan perkembangan rangkaian kedua-dua pihak, laluan ini berpotensi menghubungkan penumpang ke lebih banyak destinasi melalui hab penerbangan masing-masing," katanya.

Mohd Izani berkata fokus Malaysia Airports bukan sekadar menambah bilangan syarikat penerbangan atau destinasi, tetapi turut membangunkan rangkaian yang memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang, memperkukuh hubungan Malaysia dengan pasaran utama serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada rakan kongsi syarikat penerbangan.

Malaysia Airports KLIA merekodkan 1.2 juta pergerakan penumpang bagi sektor Timur Tengah, dengan sembilan laluan kini disokong oleh lapan syarikat penerbangan dari rantau itu sebelum penyertaan Riyadh Air sebagai syarikat penerbangan Timur Tengah terbaharu yang beroperasi di KLIA.

Perkhidmatan baharu itu hadir ketika Malaysia meneruskan usaha memperkukuh sektor pelancongan sepanjang 2026 hingga 2027.

-- BERNAMA