Am 01/08/2026 11:17 AM

PRN NS: Pengerusi SPR Tinjau Proses Pengundian Di Tiga Pusat Mengundi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN NS: Pengerusi SPR Tinjau Proses Pengundian Di Tiga Pusat Mengundi
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun (kiri) ketika meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Paroi Jaya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun hari ini turun padang untuk meninjau proses pengundian di tiga pusat mengundi sekitar daerah ini bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berlangsung lancar dan teratur.

Beliau memulakan siri lawatan di Sekolah Kebangsaan Taman Paroi Jaya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat kira-kira 9.30 pagi tadi.

Ramlan kemudian meneruskan siri tinjauannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said yang juga di bawah DUN Sikamat sebelum berakhir di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato’ Klana Petra Maamor di DUN Ampangan.

Dalam lawatan itu, Ramlan turut diberikan taklimat oleh pegawai pilihan raya yang bertugas di pusat pengundian berkenaan mengenai proses pengundian, selain meluangkan masa meninjau kemudahan yang disediakan untuk para pengundi dan petugas.

Beliau turut dijangka meninjau projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) melibatkan Saluran 1 hingga 7 di pusat pengundian SMA Dato’ Klana Petra Maamor sebagai usaha menambah baik pengurusan proses pilihan raya.

Sistem OCR-VA dibangunkan khusus bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi di saluran mengundi melalui pengimbasan maklumat pada kad pengenalan secara automatik.

Setakat 10 pagi, sebanyak 18.22 peratus pengundi telah selesai mengundi.

SPR menyasarkan 72 hingga 75 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, manakala keputusan awal dijangka diumumkan seawal 10 malam dan keputusan penuh sebelum tengah malam.

Sebanyak 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos terlibat dalam proses pengundian bagi memilih wakil rakyat hari ini, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN.

Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lepas, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus ditetapkan SPR.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA