ISTANBUL, 1 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Arab Saudi, Qatar, Jordan dan Kuwait pada Jumaat menyambut baik persetujuan untuk melaksanakan fasa seterusnya bagi pelan damai Semenanjung Gaza, sambil menggesa Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian itu, pengunduran tenteranya dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa gangguan.
Reaksi itu menyusuli pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Majlis Keamanan mengenai persetujuan untuk meneruskan pelan gencatan senjata peringkat seterusnya.
Majlis Keamanan ialah antara institusi yang ditubuhkan di bawah kerangka pentadbiran peralihan Gaza yang diterima pakai Rumah Putih pada 16 Jan, bersama-sama Majlis Eksekutif Gaza, Jawatankuasa Pentadbiran Nasional Palestin dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa.
Anadolu Ajansi melaporkan Kementerian Luar Arab Saudi menyambut baik “perjanjian bersejarah” Trump berkaitan pelucutan senjata di Gaza.
Kementerian itu turut memuji usaha Mesir, Qatar, Türkiye, AS, Majlis Keamanan serta “semua rakan yang menyumbang kepada pencapaian ini.”
Riyadh menegaskan semula komitmennya untuk melaksanakan pelan damai menyeluruh yang diperakukan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Resolusi 2803, dengan penyelarasan bersama rakan serantau dan antarabangsa.
Kementerian itu menekankan keperluan melaksanakan semua fasa yang dipersetujui mengikut jadual ditetapkan secara “meyakinkan, muktamad dan tidak boleh ditarik balik.”
Ia turut menggesa pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa gangguan serta sokongan terhadap usaha pembinaan semula.
Kementerian itu menegaskan bahawa Pihak Berkuasa Palestin perlu kembali mentadbir Gaza, manakala kesatuan wilayah Palestin yang diduduki mesti dipelihara bagi memastikan kejayaan pelan damai dan kestabilan jangka panjang.
Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pula mengadakan perbualan telefon dengan Ketua Biro Politik Hamas Khalil al-Hayya dan mengucapkan tahniah atas pelantikannya ke jawatan baharu itu.
Menurut Kementerian Luar Qatar, Sheikh Mohammed menyambut baik penerimaan Hamas terhadap pelan hala tuju bagi melaksanakan fasa kedua perjanjian itu dan berharap langkah berkenaan dapat membantu menamatkan penderitaan rakyat Palestin di wilayah terbabit.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel memenuhi kewajipannya berdasarkan perjanjian itu, menghentikan pencabulan berterusan terhadap hak rakyat Palestin dan memastikan pelan hala tuju berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.
Kementerian Luar Jordan turut menyambut baik persetujuan itu, termasuk pengaturan berkaitan pelucutan senjata di Gaza dan pengunduran tentera Israel.
Kementerian itu memuji kepimpinan Trump serta peranan Mesir, Qatar, Türkiye, Majlis Keamanan dan rakan lain dalam mencapai persetujuan berkenaan.
Amman berkata ia akan terus bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi melaksanakan pelan damai menyeluruh yang diterima pakai menerusi Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB, menurut Anadolu.
Kementerian itu menekankan kepentingan menyelesaikan semua fasa yang dipersetujui mengikut jadual tetap, memastikan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, menempatkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, menjamin bantuan kemanusiaan yang mencukupi serta menyokong usaha pembinaan semula.
Terdahulu pada Jumaat, Majlis Keamanan menerbitkan dokumen bertajuk “Pelan Hala Tuju bagi Menyempurnakan Pelaksanaan Pelan Damai Menyeluruh Presiden Trump di Gaza”, yang menggariskan prinsip dan mekanisme pelaksanaan peringkat seterusnya termasuk pengaturan keselamatan, pentadbiran dan peralihan.
Jurucakap Hamas Hazem Qassem kemudian mengumumkan bahawa gerakan itu menerima cadangan pengantara bagi menyempurnakan baki fasa perjanjian gencatan senjata.
Kerajaan Israel belum mengulas secara rasmi mengenai pelan hala tuju itu.
Bagaimanapun, Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir menolak draf perjanjian berkenaan sebagai “tidak boleh diterima” oleh Israel serta menuntut pembunuhan bersasar dan pengusiran rakyat Palestin diteruskan.
Pada 17 Nov 2025, Majlis Keselamatan PBB menerima pakai Resolusi 2803 dengan 13 undi menyokong, manakala Rusia dan China berkecuali.
Resolusi itu memperakukan pelan damai Gaza Trump, menubuhkan Majlis Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa serta menyokong sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin untuk mentadbir wilayah berkenaan dan menyelaras bantuan kemanusiaan serta usaha pembinaan semula.
Fasa pertama perjanjian itu bermula pada 10 Okt 2025 dan merangkumi gencatan senjata, pertukaran tahanan serta peluasan bantuan kemanusiaan.
Bagaimanapun, Israel terus melakukan pelanggaran dengan melepaskan tembakan serta mengehadkan penyaluran bantuan sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan rakyat Palestin.
-- BERNAMA-ANADOLU