Ekonomi 31/07/2026 07:34 PM

Pelan Induk JS-SEZ Dijangka Dilancarkan Disember Ini - Akmal Nasrullah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelan Induk JS-SEZ Dijangka Dilancarkan Disember Ini - Akmal Nasrullah
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir

BATU PAHAT, 31 Julai (Bernama) -- Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan dilancarkan secara rasmi sempena Pemukiman Pemimpin-Pemimpin pada Disember ini.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelancaran itu akan disempurnakan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong, dijadualkan diadakan di Malaysia.

Beliau berkata pelancaran pelan induk tersebut dijangka mampu melonjakkan kedudukan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan utama serantau dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik global.

"Jangkaan kita, Pemukiman Pemimpin-Pemimpin itu akan berlangsung pada Disember nanti. Justeru, antara salah satu agenda pada pemukiman itu adalah peluncuran ataupun pelancaran Pelan Induk JS-SEZ.

“Pada masa sama, semalam saya juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Negara dari Singapura Chee Hong Tat. Kami berdua bersetuju supaya mesyuarat dipengerusikan bersama di peringkat menteri ataupun Johor-Singapore Cooperation Ministerial Committee (JSCMC) akan diadakan pada Novermber nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program SDG Bersasar Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 Wilayah Selatan di Dataran Penggaram, di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya adakah isu berkaitan Network School menjejaskan potensi pelaburan negara khususnya di JS-SEZ, beliau berkata Kementerian Ekonomi kini memberi fokus untuk terus membina keyakinan dan menarik minat pelabur supaya pelaburan yang diterima memberi manfaat kepada negara.

"Bagi saya, kita tidak boleh terlalu terheret dengan isu berkenaan kerana tumpuan di peringkat Kementerian Ekonomi ini adalah untuk terus membina kekuatan dan keyakinan pelabur, sekali gus kerjasama dengan Singapura itu kita terus kekalkan.

“Sebab itu perkara berkenaan tidak timbul dalam perbincangan kami semalam kerana kita melihat agenda lebih besar dan benar-benar memberi impak kepada bagaimana JS-SEZ ini dapat terus berkembang," katanya.

Mengulas mengenai laporan Apex Securities berkaitan risiko sebarang gangguan terhadap laluan perkapalan di Selat Melaka berpotensi memberi kesan kepada ekonomi negara, Akmal berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan pada kestabilan bekalan tenaga negara bagi memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan.

Menyentuh mengenai program hari ini, beliau berkata Batu Pahat telah dipilih sebagai bandar perintis bagi pelancaran program SDG peringkat kebangsaan, dengan perancangan meneruskan inisiatif tersebut ke 12 daerah lain demi memastikan pertumbuhan ekonomi seiring dengan peningkatan kualiti hidup di peringkat akar umbi.

Di peringkat kementerian, matlamat SDG diletakkan sebagai salah satu teras utama perancangan pertumbuhan dan penilaian keberkesanan, termasuk penetapan sasaran pencapaian 40 peratus pelaporan rasmi di bawah Rancangan Malaysia ke-13.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif ini turut mengambil kira pencapaian positif JS-SEZ bagi memperkukuh pembangunan mampan di daerah-daerah sekitar negeri Johor.

-- BERNAMA