Am 31/07/2026 06:16 PM

Irene Jane: Daripada Olahraga Ke Podium Angkat Berat Sukan Komanwel

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Irene Jane: Daripada Olahraga Ke Podium Angkat Berat Sukan Komanwel
Atlet angkat berat wanita negara Irene Jane Henry dalam kategori 48 kilogram wanita bersama pingat gangsa yang dimenanginya pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo baru-baru ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

GLASGOW, 31 Julai (Bernama) -- Dahulu, perjalanan sukan Irene Jane Henry sekadar berlegar di pentas olahraga daerah, namun keputusan beralih daripada lompat jauh kepada angkat berat membuka lembaran baharu yang membawanya hingga ke podium Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Irene Jane tidak pernah membayangkan akan menggalas cabaran sebagai atlet angkat berat ketika pertama kali diperkenalkan kepada sukan berkenaan sewaktu berumur 12 tahun pada 2017.

Sebelum itu, Irene Jane aktif dalam olahraga khususnya acara lompat jauh, namun perkembangannya ketika itu seakan-akan terhenti tanpa peluang untuk melangkah lebih jauh.

“Saya langsung tidak menyesal beralih daripada olahraga kepada angkat berat. Ketika menjadi atlet lompat jauh, saya hanya bertanding di peringkat daerah, tidak berpeluang untuk pergi lebih jauh.

“Selepas beralih kepada angkat berat, barulah saya berpeluang bertanding di luar, menimba pengalaman dan melihat pelbagai tempat,” katanya kepada Bernama di sini.

Percubaan yang pada mulanya sekadar suka-suka dalam angkat berat itu bagaimanapun tidak terus berjalan lancar apabila atlet berusia 21 tahun itu pernah berhenti berlatih seketika disebabkan kekurangan pertandingan serta masalah pengangkutan.

Katanya, jadual persekolahan turut menyukarkan keadaan apabila dia pulang sekitar 2.30 petang, sedangkan sesi latihan bermula 30 minit kemudian.

Namun, keputusan untuk berlatih semula dan bertanding membuahkan hasil apabila Irene Jane meraih pingat emas dalam kategori 45 kilogram (kg) pada kejohanan peringkat negeri Sabah.

Kejayaan itu menjadi titik perubahan dalam perjalanan Irene Jane apabila bakatnya mula digilap di Tambunan di bawah bimbingan dua jurulatih daerah, Cornelius Pawon dan Stephen Gampion, yang juga merupakan bapa saudaranya.

Kedua-duanya antara individu terawal mengenal pasti potensinya sebelum membuka laluan buat Irene Jane diserap ke Sekolah Sukan Malaysia Sabah di Kota Kinabalu pada 2020.

Di Kota Kinabalu, perkembangannya diteruskan di bawah kendalian Aricco Jumitih sebelum dia melangkah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil di Kuala Lumpur untuk menjalani latihan lebih intensif bersama ketua jurulatih kebangsaan Edmund Yeo dan penolong ketua jurulatih Mohd Norshah Rizal Ruslan.

“Saya tidak pernah terfikir akan menjadi atlet angkat berat. Saya sendiri tidak tahu apa yang membuatkan saya begitu jatuh cinta dengan sukan ini.

“Mungkin antara perkara yang saya suka ialah dapat berjalan dan melihat tempat lain,” katanya yang pernah beraksi antaranya di Singapura, Kazakhstan, India, Thailand dan Scotland.

Perjalanan daripada hanya beraksi di peringkat daerah dalam lompat jauh kepada meraih gangsa kategori 48kg wanita pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 kini mengukuhkan keyakinannya bahawa keputusan menukar haluan adalah tepat.

Di Glasgow, Irene Jane mengumpul jumlah angkatan 167kg menerusi 77kg dalam snatch dan 90kg bagi clean and jerk, hanya satu kilogram di belakang pemenang perak Ruth Asuquo Nyong dari Nigeria.

Namun, pencapaian itu belum memuaskan hatinya apabila anak ketiga daripada enam beradik itu sudah menetapkan sasaran lebih tinggi untuk edisi Sukan Komanwel akan datang.

“Pada Sukan Komanwel akan datang, saya menyasarkan pingat perak. Kalau boleh, sasaran terbaik saya adalah untuk mengatasi Mirabai Chanu (pemenang emas 48kg wanita Glasgow 2026).

“Sebelum ini bukanlah saya bermain-main ketika latihan tapi mungkin masih kurang peka. Selepas pengalaman kali ini, baru timbul kesedaran untuk benar-benar memberikan tumpuan dalam latihan,” katanya.

Irene Jane turut menyifatkan ibu bapanya, Henry Peter Muji dan Roselind Joseph Dominic sebagai tulang belakang sepanjang perjalanan kariernya.

Selain itu, beliau mempunyai seorang abang dan dua adik perempuan yang turut berkecimpung dalam angkat berat, sekali gus menjadikan sukan berkenaan cukup dekat dengan keluarganya.

“Ibu bapa saya paling banyak memberikan sokongan. Kalau ada pertandingan, mereka pasti datang dan dari segi sokongan moral, mereka memberikan sokongan 100 peratus,” katanya.

Berikut merupakan biodata Irene Jane Henry:

 

Nama: Irene Jane Henry

Tarikh lahir: 28 Jun 2005

Pendidikan awal: Sekolah Rendah Kebangsaan St. David Toboh

Hobi: Menyanyi, menonton dokumentari

Cita-cita: Guru

Idola sukan: Muhamad Aznil Bidin

Makanan kegemaran: Tuhau dan masakan ibu

 

-- BERNAMA