GUA MUSANG, 31 Julai (Bernama) -- Pemandu Perodua Myvi yang maut selepas bertembung dengan sebuah treler membawa muatan diesel di Jalan Gua Musang–Kuala Krai, dekat Gua Sejuk, di sini pagi tadi, pernah berbual tentang kematian, tiga hari lepas.
Ibunya, Faridah Bedollah, 59, berkata Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, anak bongsu daripada lapan beradik itu ada menyatakan kegusaran berkenaan urusan kematiannya jika ditakdirkan dia meninggal dunia nanti.
"Beberapa hari sebelum ini, dia ada mengurus hal bekas majikannya yang baru meninggal dunia akibat serangan jantung. Jadi, dia ada bersembang dengan saya dan bertanya jika dia meninggal dunia macam mana dengan bayaran untuk urusan kematiannya nanti.
"Saya menjawab pertanyaannya itu dan memaklumkan akan mengusahakan bayaran yang diperlukan mengikut kemampuan kerana kami bukan orang berada. Saya sama sekali tidak terfikir hal ini menjadi petanda arwah akan pergi dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini hari ini.
Faridah berkata Muhamad Syazwan Hakimi baru sahaja bekerja sebagai mekanik di sebuah pusat servis kereta pada April lepas setelah selesai latihan industri dan menamatkan pelajaran di Institut Latihan Perindustrian Marang, Terengganu.
Katanya, arwah juga menyatakan hasrat untuk ke Cameron Highlands bersama-sama rakan sekampung dan akan pulang pada hari yang sama kerana tidak bermalam di sana.
"Arwah memberitahu saya bahawa ibu rakannya telah mengajak dia untuk bersiar-siar ke sana dengan memandu kereta milik mereka. Arwah sememangnya seorang yang peramah dan mudah berkawan dengan orang tua dan rakan sebaya.
"Biasanya, dia akan bersalam dengan saya sebelum bertolak ke mana-mana, tetapi semalam dia tidur di rumah neneknya. Apabila saya bangun pagi tadi, abangnya telah memberitahu bahawa dia telah bertolak," katanya yang mengetahui tentang kejadian kemalangan itu daripada jirannya kira-kira 9 pagi.
Faridah berkata arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tegayong Barat, Melor, selepas selesai proses bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Muhamad Syazwan Hakimi antara tiga yang maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki apabila perodua Myvi yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah bertentangan.
-- BERNAMA