Am 31/07/2026 05:47 PM

PM Anwar Akan Beri Perhatian, Tingkat Bantuan Kepada AIM Dalam Belanjawan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Anwar Akan Beri Perhatian, Tingkat Bantuan Kepada AIM Dalam Belanjawan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan MADANI di Cycledios, Pantai Batu 1 hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PORT DICKSON, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan terus memberikan perhatian terhadap Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan meningkatkan bantuan terhadap agensi itu dalam Belanjawan akan datang dalam usaha membantu rakyat terutamanya golongan wanita meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu akan dipertingkat selain meneruskan peruntukan khas yang diberikan sebelum ini. 

"Selagi saya ada, insya-Allah... ada amanah memandu kerajaan ini, saya tidak akan lupa peranan AIM kerana dalam setiap Belanjawan, saya akan bagi perhatian.

"Saya akan tingkatkan kerjasama dan bantuan untuk AIM," katanya dalam ucapan perasmian Karnival Sahabat Usahawan MADANI Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat Kanan Politik beliau Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Anwar berkata sejarah pengurusan AIM yang baik telah membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada kemiskinan melalui peluang modal dan bantuan pengurusan.

"AIM ini memang sejarah yang dekat dengan saya semasa saya menjadi Menteri Kewangan awal-awal dan bila saya tengok, ada kemajuan serta mendapat sambutan daripada sahabat terutama wanita," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meningkatkan kadar bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan akan datang.

"Kalau semua keadaan baik, Belanjawan negara ini kita tambah lagi SARA untuk rakyat," katanya.

Beliau turut meminta rakyat memberi peluang kepada Kerajaan MADANI untuk terus berhidmat dengan baik dan stabil serta meneruskan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

"Jangan banyak gaduh-gaduh, tumpu jaga rakyat dan bagi peluang Kerajaan Negeri Sembilan pun kuat supaya boleh bekerjasama dengan saya, Kerajaan Persekutuan... lebih teratur, lebih senang kita bekerja bersama dengan sahabat AIM," katanya.

  -- BERNAMA