Dunia 01/08/2026 09:35 AM

Tehran, Oman Usaha Wujud Mekanisme Urus Pelayaran Di Selat Hormuz - Iran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tehran, Oman Usaha Wujud Mekanisme Urus Pelayaran Di Selat Hormuz - Iran
--REUTERS

ISTANBUL, 1 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Tehran sedang bekerjasama dengan Oman bagi mewujudkan mekanisme operasi untuk menguruskan pelayaran di Selat Hormuz, menurut penyiar kerajaan IRIB pada Jumaat.

Kenyataan itu dibuat ketika perbualan telefon dengan Setiausaha Luar United Kingdom (UK) Ed Miliband yang turut membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa serta hubungan dua hala.

Anadolu Ajansi yang memetik IRIB melaporkan Araghchi menegaskan semula kesungguhan Iran untuk membangunkan mekanisme operasi bersama Oman bagi menguruskan trafik maritim menerusi laluan air strategik itu.

Beliau memberi amaran bahawa campur tangan pihak ketiga dalam proses berkenaan “hanya akan merumitkan keadaan semasa”.

Araghchi turut mengkritik “penglibatan” Britain dalam peperangan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, sambil menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima dan wajar dikecam” serta menggesa kerajaan Britain mengkaji semula pendiriannya.

Miliband berkata kerajaan baharu Britain “bukan pihak dalam peperangan dengan Iran” dan percaya diplomasi kekal sebagai kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

Beliau turut menekankan kepentingan meneruskan hubungan diplomatik dengan Tehran bagi membantu meredakan ketegangan serantau.

Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun yang merangkumi gencatan senjata hasil pengantaraan Qatar dan Pakistan, sekali gus membuka jalan kepada rundingan mengenai perjanjian muktamad untuk menamatkan peperangan.

AS menuntut Iran menghentikan serangan terhadap kapal komersial dan menjamin kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz, manakala Tehran menegaskan pergerakan kapal di laluan strategik sepanjang pesisirannya perlu dikawal selia menerusi mekanisme yang ditadbirnya.

Ketegangan antara AS dengan Iran meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila Washington melancarkan serangan ke atas Iran, manakala Tehran bertindak menyasarkan kemudahan dan aset ketenteraan AS di rantau itu.

-- BERNAMA-ANADOLU