KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai bernilai RM1.9 juta dalam serbuan di Puchong dan Klang, Selangor, Khamis lepas.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata lima individu, termasuk dua warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan dalam operasi itu.
"Dalam operasi berkenaan, pihak polis merampas 389 peti (crate) dan 255 kotak minuman keras pelbagai jenama, dua lori serta lima unit telefon bimbit dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,900,926.30," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil risikan mendapati sindiket itu aktif menjalankan aktiviti penyimpanan, pengedaran serta penjualan minuman keras haram sejak 2024, dan menjadikan kawasan sekitar Pandamaran, Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang sebagai antara lokasi utama pengedaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Zaki memaklumkan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, WCB/PSK telah merekodkan 21 kes berkaitan minuman keras tidak bercukai dengan 43 tangkapan melibatkan nilai rampasan RM38.7 juta di seluruh negara.
Sementara itu, dalam operasi berasingan semalam, WCB/PSK dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan 89 ekor kura-kura spesies dilindungi bernilai RM190,000 dalam serbuan di Lunas dan Kulim, Kedah.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan dalam serbuan itu, yang melibatkan rampasan 74 ekor kura-kura spesies Sulcata dan 15 ekor Yellow Pond Turtle.
"Turut dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (Brian Exotic) itu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan satu unit telefon bimbit dan kes disiasat mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Julai ini Operasi Bersepadu Khazanah mencatatkan 53 kes, 56 tangkapan dan nilai rampasan keseluruhan RM93,884,589.00.
-- BERNAMA