SHAH ALAM, 1 Ogos (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan membabitkan kematian seekor anjing semasa operasi tangkapan anjing liar yang dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, tiga hari lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata anjing berkenaan telah disahkan mati dalam kejadian pada 29 Julai kira-kira 10.50 malam di hadapan sebuah rumah di lokasi berkenaan selain bangkai telah dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Selangor bagi tujuan bedah siasat.
Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang turut melibatkan kerjasama penduduk setempat.
“Polis mengesahkan satu kejadian yang rakaman videonya sedang tular di media sosial dengan sekumpulan lelaki mengikat dan menarik seekor anjing sambil dirayu seorang perempuan untuk melepaskan anjing itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata kes disiasat mengikut seksyen 428 Kanun Keseksaan selain turut menasihati orang ramai agar tidak menularkan video memaparkan kejadian berkenaan di media sosial agar tidak mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.
Semalam, MBDK dalam kenyataan memaklumkan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden yang mengakibatkan kematian seekor anjing ketika operasi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan berlaku semasa operasi dilaksanakan dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam, susulan aduan rasmi penduduk berkaitan gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1), Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPK 2007, dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan (JKKPM) serta dimaklumkan kepada Ahli Majlis kawasan.
-- BERNAMA