Am 31/07/2026 11:39 AM

Di Sebalik Seragam Oren: Rahmat Galas 19 Tahun Amanah Di Rapid Penang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Di Sebalik Seragam Oren: Rahmat Galas 19 Tahun Amanah Di Rapid Penang

Oleh Siti Azila Alias

GEORGE TOWN, 31 Julai (Bernama) – Tugas sebagai kapten bas bukan sekadar membawa penumpang ke destinasi, sebaliknya menuntut kesabaran, amanah dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap keselamatan setiap nyawa di bawah jagaan mereka.

Bagi Rahmat Hamid, 58, sepanjang hampir dua dekad berkhidmat bersama Rapid Penang, pelbagai pengalaman telah ditempuhi, daripada mengendalikan laluan yang sibuk dan mencabar hinggalah berdepan dengan pelbagai ragam penumpang.

Namun, pengalaman paling menyentuh hatinya ialah apabila sekumpulan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) yang menamatkan pengajian sanggup menunggu bas kendaliannya semata-mata untuk menyampaikan hadiah sebagai tanda penghargaan, baru-baru ini.

"Saya tidak sangka depa (mereka) tunggu saya. Depa beritahu dah habis belajar, sebelum balik nak bagi hadiah, minta maaf sebab terhutang budi saya selalu tunggu walaupun depa lambat.

"Saya kata tidak perlu pun bagi hadiah, memang tanggungjawab saya... lagipun saya kesian tengok depa berlari nak kejar bas. Tapi depa nak bagi juga, itu yang buat saya tersentuh," katanya kepada Bernama sempena ulang tahun ke-19 Rapid Penang di Depoh Rapid Penang Sungai Nibong, di sini.

Maju Johor

Selain menghadiahkan sejadah dan tasbih sebagai tanda penghargaan atas layanan yang diberikan sepanjang dua tahun beliau mengendalikan laluan ke USM, Rahmat berkata penuntut terbabit juga sering membawakan makanan untuknya.

Beliau berkata menjadi kebiasaannya menunggu penuntut yang berlari mengejar bas, terutama ketika mereka mahu menghadiri kuliah atau peperiksaan. Malah, ada yang sanggup menunggu bas kendaliannya walaupun bas lain tiba terlebih dahulu.

"Ada yang sanggup tunggu bas saya walaupun bas lain sudah sampai. Kadang-kadang depa buat video TikTok dalam bas. Saya layan sahaja sebab dah anggap depa macam anak-anak saya," katanya.

Rahmat, yang mempunyai pengalaman 15 tahun sebagai pemandu bas sebelum menyertai Rapid Penang pada 2007, merupakan antara kumpulan terawal kapten bas yang menyertai syarikat itu sebelum memulakan operasinya.

Beliau turut mengingati peristiwa lucu apabila ada penumpang enggan turun dari bas kerana mahu terus bersiar-siar ketika Rapid Penang menawarkan perkhidmatan percuma sepanjang tiga hari pertama operasinya.

Maju Johor

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah mengendalikan hampir semua laluan di bahagian pulau termasuk ke Balik Pulau, Teluk Bahang, Air Itam dan sekitar Bayan Lepas, namun mengakui laluan ke Balik Pulau dan Teluk Bahang paling mencabar berikutan keadaan jalan yang sempit, berliku serta sering sesak.

"Seorang kapten bas perlu sentiasa tenang dan tidak boleh terburu-buru, terutama ketika berdepan kesesakan lalu lintas atau tindakan pengguna jalan raya lain.

"Jadi pemandu bas kena banyak bersabar sebab setiap hari berdepan dengan pelbagai kerenah penumpang serta keadaan jalan raya. Kalau tidak sabar, memang tidak boleh lama dalam pekerjaan ini," katanya.

Rahmat berkata keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaannya setiap kali berada di belakang stereng. Walaupun pernah dimarahi penumpang berikutan kelewatan bas dan berdepan pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati apabila beliau membunyikan hon untuk mendapatkan laluan, beliau memilih untuk kekal bertenang dan tidak mengeruhkan keadaan.

Beliau berkata nilai amanah sentiasa menjadi pegangannya, termasuk apabila menemukan barangan berharga yang tertinggal di dalam bas seperti wang tunai, komputer riba, dompet dan pasport, yang akan diserahkan kepada bahagian berkaitan untuk dituntut semula oleh pemiliknya.

Maju Johor

Mengenai rutin hariannya, Rahmat berkata beliau bangun seawal 3.45 pagi dan tiba lebih awal di depoh bagi memastikan bas kendaliannya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan pertama pada 6 pagi.

Penerima Anugerah Kapten Terbaik 2008 itu juga tidak pernah mengambil cuti sakit sejak tiga tahun lepas kerana memikirkan penumpang tetap yang bergantung pada perkhidmatan bas awal pagi untuk ke tempat kerja.

"Kalau saya tidak datang, bas gantian mungkin lambat dan penumpang akan menunggu. Saya kesian kepada mereka sebab perjalanan pertama memang penting," katanya.

Berbaki kira-kira dua tahun sebelum bersara, Rahmat, yang kehilangan isterinya akibat jangkitan kuman pada paru-paru tahun lepas, mengakui berat hati untuk meninggalkan kerjaya yang telah sebati dengan kehidupannya.

"Jiwa saya memang sudah sebati dengan bas. Saya bersyukur dapat bekerja dengan Rapid Penang kerana kebajikan pekerja sentiasa dijaga. Bagi saya, tugas kapten bas bukan sekadar membawa penumpang ke destinasi, tetapi juga membantu masyarakat dengan memastikan setiap orang tiba di destinasi dengan selamat," katanya.

Beliau berharap lebih ramai golongan muda melihat kerjaya kapten bas sebagai satu profesion yang mulia kerana mereka bukan sekadar menjadi pemandu, sebaliknya memikul amanah menjaga keselamatan orang ramai.

-- BERNAMA