Am 31/07/2026 12:27 PM

Pantomim “Darah Pahlawan Ulu Legong” Hidupkan Pengorbanan Tujuh Perwira

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pantomim “Darah Pahlawan Ulu Legong” Hidupkan Pengorbanan Tujuh Perwira
Pelakon Ashraf Muslim yang membawa watak Pegawai Pemerintah Batalion Ke-22 RAMD, Lt. Kol. Hamzah Othman dalam pentomim bertajuk "Darah Pahlawan Ulu Legong" pada Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2026 di Dataran Pahlawan Negara hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- “Bayangkan seorang ayah kehilangan tujuh anak dalam masa yang sama.”

Demikian gambaran yang diberikan pelakon Asyraf Muslim bagi menterjemahkan perasaan Pegawai Memerintah 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD), Leftenan Kolonel Hamzah Othman, selepas tujuh anggota di bawah pimpinannya gugur dalam tragedi serang hendap pengganas Parti Komunis Malaya di Ulu Legong, Baling pada 29 Okt 1981.

Penghayatan terhadap watak itu diterjemahkan oleh Asyraf menerusi persembahan pantomim “Darah Pahlawan Ulu Legong”, yang dipentaskan di Dataran Pahlawan Negara bersempena dengan Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Negara 2026 di sini, hari ini.

Melalui persembahan itu, Dataran Pahlawan Negara seolah-olah berubah menjadi hutan belantara Ulu Legong, dengan setiap gerakan menggambarkan ketegangan anggota tentera yang sedang menjalankan Operasi Sedar Gubir, sebelum sebuah trak Volvo dinaiki mereka menjadi sasaran tembakan senjata automatik dan pelancar bom tangan M79.

Satu demi satu anggota rebah. Bunyi tembakan akhirnya diganti dengan kesunyian yang menyayat hati, meninggalkan hanya jasad-jasad bergelimpangan dan rakan seperjuangan yang cuba menyelamatkan mangsa dalam suasana penuh pilu.

Babak itu menghidupkan kembali pengorbanan tujuh perwira negara, iaitu Lans Koperal Hashim Sulaiman, Prebet Rosli Mat Nayan, Prebet Jamil Mahmud, Prebet Jamil Abdul Hamid, Prebet Md Mendeka Ismail, Prebet Mazlim Wasal dan Prebet Mohd Khambali Mohd Sodeli yang gugur ketika mempertahankan tanah air, manakala dua lagi anggota, Prebet Md Said Adam dan Prebet Md Shafie Kasim, terselamat meskipun cedera.

Bagi Asyraf, peluang menghidupkan watak seorang pegawai pemerintah yang kehilangan tujuh anak buah dalam satu tragedi merupakan penghormatan besar sepanjang kerjayanya sebagai pelakon.

Beliau berkata semakin mendalami kisah sebenar tragedi Ulu Legong, semakin berat beban emosi yang perlu digalas untuk memahami perasaan seorang ketua yang bukan sahaja kehilangan anggota, malah terpaksa menerima hakikat tujuh “anak” di bawah pimpinannya gugur dalam sekelip mata.

“Apabila saya memahami dan menghayati kisah Ulu Legong ini, ia sangat menyedihkan ... dan saya percaya sesiapa yang menyaksikan persembahan ini akan merasai impaknya.

“Ia menjadi peringatan kepada kita bahawa keamanan negara bukan sesuatu yang boleh dianggap kekal selama-lamanya. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada anggota tentera atau pihak berkuasa semata-mata dan sebagai rakyat, kita juga mempunyai tanggungjawab mempertahankan negara mengikut peranan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Menggambarkan konflik emosi watak yang dibawanya, Asyraf berkata beliau membayangkan bagaimana seorang pegawai pemerintah terpaksa menerima berita kehilangan tujuh anggota muda yang sebahagian besarnya berusia kira-kira 19 dan 20 tahun.

“Bayangkan seorang ayah kehilangan tujuh anak dalam masa yang sama. Sebagai seorang ketua, sudah tentu timbul rasa sedih, geram dan terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan anak-anak buah sendiri daripada kekejaman musuh.

“Itulah pengorbanan sebenar seorang pahlawan. Ramai hanya melihat mereka di medan perang, tetapi tidak melihat luka yang mereka tanggung dalam hati,” katanya.

Dengan tema “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan”, istiadat itu dinaungi Tentera Darat Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada istiadat berkenaan.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

-- BERNAMA