KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada Jumaat berikutan kenaikan di Wall Street, didorong oleh pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan lonjakan dalam saham cip, diimbangi oleh kebimbangan geopolitik yang berpanjangan.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 2.04 mata kepada 1,718.36 daripada 1,720.40 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.83 mata kepada 1,721.23.
Pasaran secara menyeluruh positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 295 berbanding 114 manakala 269 kaunter tidak berubah, 2,063 tidak diniagakan dan 56 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 186.81 juta saham bernilai RM135.97 juta.
Sementara itu, laporan media menyatakan bahawa konflik antara AS dan Iran semakin meluas selepas serangan dron yang menyasarkan kapal simpanan gas di Pelabuhan Damietta, Mesir, di pesisir Mediterranean, merupakan insiden pertama seumpamanya yang melibatkan Mesir.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, prestasi kewangan suku tahunan yang kukuh daripada Microsoft dan Amazon menggariskan pertumbuhan pendapatan yang pesat dalam perniagaan pengkomputeran awan mereka, mengukuhkan keyakinan terhadap perbelanjaan perusahaan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
“Perbelanjaan modal yang dirancang oleh Amazon sebanyak US$220 bilion pada 2026 akan didorong sebahagian besarnya oleh infrastruktur AI, pusat data dan cip.
“Dengan keyakinan terhadap pertumbuhan kembali pulih, momentum kenaikan pada sesi dagangan akan datang akan tertumpu pada Microsoft dan Amazon sebagai pemangkin utama kepada kenaikan dalam pasaran secara keseluruhan,” menurutnya.
Pada peringkat domestik, firma itu menjangka bursa tempatan akan mencatatkan peningkatan yang dipacu teknologi, disokong oleh kenaikan semalaman Wall Street dan pendapatan korporat yang kukuh.
“Sentimen terhadap saham teknologi tempatan akan dipacu oleh ViTrox Corporation Bhd, apabila keuntungan bersihnya pada suku kedua tahun kewangan 2026 meningkat lebih tiga kali ganda tahun ke tahun kepada RM85 juta daripada RM28.1 juta, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap AI, kecekapan operasi dan faedah cukai,” menurutnya.
Malacca Securities turut menjangka limpahan minat belian di kaunter teknologi lain, termasuk Inari Amertron Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Frontken Corporation Bhd.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional menurun dua sen kepada RM14.60, CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM7.80 dan RM8.32, Public Bank merosot satu sen kepada RM5.15 manakala Maybank tidak berubah pada RM10.88.
Dalam kalangan saham aktif, TWL Holdings, VS Industry dan Jiankun International, masing-masing naik setengah sen kepada 2.5 sen, 22.5 sen dan lima sen, NationGate Holdings meningkat dua sen kepada RM1.15 dan MAG tidak berubah pada 16.5 sen.
Kaunter untung termasuklah Malaysian Pacific Industries meningkat RM2.40 kepada RM45.40, ViTrox naik RM1.01 kepada RM9.01, Nestlé menambah RM1.00 kepada RM100.50, UMS Integration menokok 37 sen kepada RM7.21 dan UWC naik 29 sen kepada RM6.45.
Kaunter paling rugi ialah Bursa Malaysia menurun lapan sen kepada RM8.62, SD Guthrie berkurangan tujuh sen kepada RM6.53, Gas Malaysia merosot tujuh sen kepada RM5.16, MISC menyusut enam sen kepada RM8.06 dan Heng Yuan Refining menurun lima sen kepada RM1.43.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 19.59 mata kepada 12,713.92, Indeks FBM Top 100 menambah 16.17 mata kepada 12,547.48 dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 155.88 mata kepada 18,124.67.
Indeks FBM Emas Shariah naik 40.72 mata kepada 12,571.21 dan Indeks FBM ACE meningkat 37.87 mata kepada 4,960.64.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.61 mata kepada 187.61 dan Indeks Tenaga meningkat 1.56 mata kepada 762.62 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 29.41 mata kepada 20,224.40 dan Indeks Perladangan berkurangan 25.86 mata kepada 9,301.19.
-- BERNAMA