MEXICO CITY, 31 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa Mexico menahan seorang lelaki yang disyaki mengetuai kumpulan jenayah berkaitan Kartel Jalisco Generasi Baharu (CJNG) kerana didakwa mengarahkan pembunuhan seorang datuk bandar di negeri Michoacan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menteri Keselamatan Mexico Omar Garcia pada Khamis berkata Ramon Angel, yang turut dikenali sebagai “El R1”, ditahan dalam operasi bersama membabitkan polis, pasukan khas dan tentera.
“Ramon Angel ‘El R1’, yang dikenal pasti sebagai dalang pembunuhan kejam Datuk Bandar Uruapan Carlos Manzo, ditahan selepas risikan dan siasatan dijalankan selama beberapa bulan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Pembunuhan Manzo pada 1 Nov 2025 ketika sambutan "Day of the Dead" mencetuskan kemarahan di seluruh negara dan membawa kepada penahanan 31 orang, termasuk anggota kartel serta beberapa anggota pasukan keselamatan datuk bandar berkenaan.
Angel dipercayai merupakan anggota kanan dalam rangkaian jenayah CJNG dan mengetuai sebuah kumpulan bersenjata khas.
Garcia berkata El R1 dikenal pasti sebagai ketua utama Los Rs, antara kumpulan jenayah paling ganas yang dikaitkan dengan CJNG dan aktif di Apatzingan, Uruapan serta Morelia di Michoacan, selain di Jalisco.
Menurut beliau, kumpulan Los Rs terbabit dalam kegiatan pemerasan, pembunuhan dan pengedaran dadah.
Pembunuhan Manzo mencetuskan gelombang protes di seluruh Mexico dan menjadikan beliau simbol keganasan politik yang terus membelenggu negara itu, khususnya di negeri seperti Michoacan yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat kumpulan jenayah.
Sepanjang memegang jawatan Datuk Bandar Uruapan, Manzo mengambil pendirian tegas terhadap jenayah terancang dan berjanji membebaskan wilayah pentadbirannya daripada pengaruh kartel dadah.
-- BERNAMA-ANADOLU