Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Naskhah Tamil tempatan yang penuh debaran Irumbuth Thottam, bakal menemui penonton di pawagam bermula 6 Ogos ini, mengetengahkan isu sosial yang sering dianggap tabu.
Filem penyiasatan berdurasi 114 minit itu yang diarah dan ditulis oleh Jaydev Jayakumar, berkisar tentang siasatan kes kehilangan misteri seorang pelajar berusia 15 tahun oleh dua pegawai polis, Rahim dan Easwaran, yang berusaha merungkai kebenaran menerusi bukti forensik dan keterangan saksi.
Jaydev berkata filem itu bukan sekadar sebuah drama penyiasatan, tetapi juga platform untuk menggalakkan perbincangan isu-isu sosial yang sensitif di sebalik kemodenan masyarakat hari ini.
"Sebagai peminat tegar filem jenayah berunsur penyiasatan, saya mahu memanfaatkan elemen suspen dan ketegangan dalam genre ini sebagai jambatan untuk meneroka realiti sosial yang sukar dibincangkan, sekali gus menyampaikan mesej dengan cara yang lebih menarik dan berkesan," katanya kepada Bernama.
Katanya projek berkenaan juga adalah cara beliau menzahirkan penghargaan kepada kampung halamannya di Tebong, Melaka, apabila keseluruhan penggambaran dijalankan di lokasi yang diinspirasikan daripada kenangan zaman kanak-kanaknya.
Menurutnya, filem itu turut menjadi usaha komuniti setempat apabila penduduk Tebong bersama-sama menyumbang masa dan tenaga menjayakan penggambaran.
“Melalui Irumbuth Thottam, saya bukan sahaja berharap dapat mencabar perspektif penonton terhadap norma masyarakat, malah mahu mengetengahkan keindahan serta jiwa Tebong, tempat kelahiran saya, kepada dunia," katanya.
Pelakon Loga Varman Strideran yang membawakan watak pegawai penyiasat Easwaran, berharap filem itu dapat memberikan pengalaman sinematik yang baharu kepada penonton, selain memperluas skop perfileman Tamil Malaysia.
"Selama ini kita menyaksikan banyak drama romantik dan filem seram yang hebat, namun filem penyiasatan jenayah ini membawa kelainan yang menyegarkan kepada industri filem Tamil Malaysia," katanya.
Diterbitkan oleh AVLT Production danJegen John Peter, filem itu turut dibintangi Irfan Zaini, Mohana Raj, Marie Dashani Mattews dan Dhurgaashinni S. Vijyan selain menampilkan kemunculan khas Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yuneswaran Ramaraj serta Balan Kash dan Datuk Geethanjali G.
Filem itu turut menampilkan sedutan singkat lagu karya komposer legenda India Ilaiyaraaja selepas pihak penerbit diberikan kebenaran berbuat demikian.
Naskhah itu juga menandakan penampilan sulung Jaydev sebagai pengarah filem cereka yang ditayangkan di pawagam, selepas bertahun-tahun mengarahkan program televisyen dan produksi digital.
-- BERNAMA