Am 31/07/2026 10:31 AM

Sebungkus Nasi Yang Mengubah Nasib Sebatang Sungai

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sebungkus Nasi Yang Mengubah Nasib Sebatang Sungai
Gambar hiasan.

Hampir setiap hari sejak 2017, Azman Mustapha akan ke Sungai Koh di pedalaman Batu Mengkebang di sini dengan membawa beberapa bungkus nasi. Bukan untuk berkelah bersama-sama dengan keluarga atau rakan, sebaliknya bagi memberi makan kepada anak-anak ikan kelah liar.

Detik yang bermula tanpa sengaja, iaitu apabila dia menaburkan lebihan nasi seusai makan tengah hari ketika berehat di tebing sungai itu, menjadi rutin harian dan anak-anak kelah liar yang pada awalnya lari apabila mengesan kehadiran manusia, kini jinak umpama ikan peliharaan. Bezanya cuma, ikan-ikan ini berenang bebas di habitat semula jadi.

Usaha yang dilakukan secara konsisten itu membawa kepada penubuhan FMC Kelah Eco Park yang diusahakan oleh Azman, 53, dengan ribuan ikan kelah jinak; spesies ikan sungai yang diketahui amat sensitif dengan bunyi atau pergerakan di air terutamanya kehadiran manusia; menjadi tarikan utama.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, kawasan perlindungan kelah yang ditubuhkan pada 2023 itu kini menjadi destinasi ekopelancongan berteraskan konservasi, pendidikan alam sekitar serta menjana limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

 

DARIPADA BEBERAPA EKOR ANAK IKAN

Menyoroti sejarah sembilan tahun lalu, Azman berkata semuanya bermula tanpa sengaja apabila beliau ternampak beberapa ekor anak ikan kelah berenang di kawasan air yang jernih lalu mencampakkan lebihan nasi ke dalam sungai.

“Tindakan spontan itu bertukar menjadi rutin harian. Daripada satu bungkus nasi, lama-kelamaan jadi dua bungkus. Untuk ikan sebungkus, kami makan sebungkus. Lepas itu jadi tiga bungkus. Hari demi hari semakin banyak ikan datang berkumpul. Sekarang kami beri makan tiga hingga empat kali sehari supaya ikan terus berada di kawasan ini,” katanya kepada Bernama.

Maju Johor
Pengasas FMC Kelah Eco Park, Azman Mustapha (tengah) bersama Pengarah INSPEK Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Ahmad Fahme Mohd Ali (kiri) melihat kawasan sekitar FMC Kelah Eco Park.

Menurutnya, membiasakan ikan kelah liar dengan kehadiran manusia bukan sesuatu yang dapat dilakukan dalam tempoh singkat kerana spesies itu sangat sensitif terhadap bunyi, pergerakan dan kehadiran manusia. Pada peringkat awal, ikan akan terus menghilangkan diri sebaik terdengar bunyi tapak kaki di tebing sungai.

Namun, beliau tidak pernah berputus asa dan terus memberi makan pada waktu yang hampir sama setiap hari sehingga ikan-ikan itu mula mengaitkan kehadiran manusia dengan sumber makanan. Kini, pengunjung berpeluang melihat ribuan ikan kelah berenang bebas serta memberi makan kepada spesies berkenaan di habitat semula jadinya.

“Kepuasan paling besar ialah apabila pengunjung datang dan ikan tidak lagi melarikan diri. Untuk membiasakan ikan kelah dengan kehadiran manusia bukan mudah kerana spesies ini sangat sensitif. Kami mengambil masa hampir sembilan tahun,” katanya.

 

 

SUNGAI YANG BERUBAH WAJAH

Hasil usaha berterusan itu, kira-kira tiga kilometer aliran Sungai Koh kini menjadi habitat kepada ribuan ikan kelah hijau (Neolissochilus hexagonolepis), sekali gus menjadikan kawasan itu antara lokasi yang terkenal dengan populasi spesies berkenaan.

Azman berkata kini, hampir keseluruhan kawasan sungai itu didominasi ikan kelah, manakala spesies lain hanya terdapat dalam jumlah yang jauh lebih kecil, mewujudkan pemandangan yang sukar ditemukan di sungai-sungai lain.

Maju Johor
Kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk sampai ke FMC Kelah Eco Park di pedalaman Batu Mengkebang.

Beliau menganggarkan keseluruhan populasi ikan di kawasan itu, termasuk ikan kelah dan spesies lain, mencecah ratusan ribu ekor. Setiap kali makanan ditaburkan, permukaan sungai yang tenang seolah-olah bertukar menjadi hamparan sisik keemasan apabila ribuan ikan kelah muncul serentak untuk mendapatkan makanan.

Bagi pengunjung yang pertama kali menyaksikan fenomena itu, pemandangan berkenaan sering mengundang rasa kagum. Ada yang sekadar merakam gambar dan video, manakala yang lain mengambil peluang merendam kaki di dalam air untuk merasai ikan-ikan kelah mengerumuni mereka.

 

IKAN SUNGAI LIAR KEPADA EKOPELANCONGAN BERASASKAN KONSERVASI

Berkenaan FMC Kelah Eco Park, Azman berkata kawasan itu dibangunkan secara berperingkat menggunakan dana sendiri dengan matlamat mengekalkan keaslian alam sekitar tanpa menjejaskan habitat ikan kelah di sungai.

Selain memelihara kawasan sungai sebagai habitat semula jadi, beliau turut membangunkan kolam ternakan ikan kelah dengan mendapatkan induk daripada pembekal luar sebelum dibiakkan sebagai usaha memahami pertumbuhan spesies berkenaan serta memenuhi permintaan pasaran.

Maju Johor
Usaha yang dilakukan secara konsisten selama hampir sembilan tahun itu membawa kepada penubuhan FMC Kelah Eco Park menempatkan ribuan ikan kelah jinak.

Beliau berkata ikan kelah yang dijual kepada pelanggan adalah hasil ternakan di kolam, manakala ikan kelah yang hidup di sungai dalam kawasan itu tidak ditangkap bagi memastikan populasi semula jadinya terus terpelihara.

“Harga pasaran sekarang sekitar RM250 hingga RM300 sekilogram. Kalau saiz lebih besar, harganya boleh mencecah RM400 sekilogram kerana isi lebih pejal dan rasanya lebih manis,” katanya.

Namun, di sebalik nilainya yang tinggi, memelihara ikan kelah bukan tugas mudah. Selain memerlukan air yang bersih dan kaya dengan oksigen, spesies itu turut berdepan ancaman pemangsa seperti memerang dan burung.

Azman berkata kawasan hutan sekitar juga perlu terus dipelihara bagi memastikan habitat semula jadi ikan kelah tidak terjejas akibat pembangunan yang boleh menyebabkan hakisan tanah serta mendangkalkan sungai.

 

LEBIH DARIPADA HIDANGAN MEWAH

Selain dikenali sebagai antara ikan air tawar bernilai tinggi di negara ini, ikan kelah turut mempunyai nilai pemakanan yang tinggi.

Pensyarah Kanan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Nur Ida Fatihah Che Shalifullizam berkata ikan kelah mengandungi protein berkualiti tinggi dengan sembilan jenis asid amino penting termasuk DHA dan EPA yang penting untuk kesihatan tubuh.

Beliau yang juga pakar pemakanan, berkata kandungan nutrien itu membantu perkembangan otak, pembinaan tisu badan, mengurangkan keradangan selepas aktiviti fizikal serta menyokong kesihatan jantung.

“Omega-3 sangat penting terutama kepada kanak-kanak kerana membantu perkembangan otak, manakala lemak baik yang terdapat dalam ikan pula menyumbang kepada kesihatan sistem kardiovaskular,” katanya.

Menurut beliau, kaedah memasak turut memainkan peranan penting dalam memastikan kandungan nutrien ikan kekal terpelihara.

Katanya, ikan kelah lebih sesuai dikukus berbanding digoreng kerana suhu yang terlalu tinggi boleh mengurangkan kandungan beberapa vitamin dan nutrien penting.

“Ikan kelah sangat sesuai dikukus sama ada bersama halia atau limau kerana kaedah itu dapat mengekalkan lebih banyak khasiat berbanding teknik memasak yang menggunakan suhu tinggi,” katanya.

Beliau berkata habitat turut mempengaruhi kualiti nutrien ikan.

Menurutnya, ikan yang hidup bebas di sungai memperoleh sumber makanan semula jadi seperti buah-buahan hutan, serangga dan organisma akuatik lain yang menyumbang kepada kandungan nutrien yang lebih pelbagai.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pencemaran sungai bukan sahaja memberi kesan kepada habitat ikan, malah boleh menjejaskan keseluruhan rantaian makanan.

“Kualiti air sangat penting kerana pencemaran boleh memberi kesan kepada kesihatan ikan dan akhirnya memberi impak kepada manusia yang memakannya dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menegaskan penternak perlu memastikan ikan menerima makanan berkualiti tinggi serta hidup dalam persekitaran air yang bersih bagi menjamin tumbesaran optimum dan nilai pemakanan yang baik.

 

PEMULIHARAAN YANG MEMBERI PULANGAN

Bagi Nur Ida Fatihah, kekuatan FMC Kelah Eco Park bukan sekadar terletak pada kehadiran ribuan ikan kelah, tetapi bagaimana usaha memelihara alam dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Katanya, pembangunan ekopelancongan berasaskan alam semula jadi mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk dalam pelbagai sektor termasuk penginapan, penyediaan makanan, pengangkutan, rekreasi dan perusahaan kecil.

“Apabila pelancong datang, mereka bukan sahaja menggunakan kemudahan yang disediakan, malah membeli produk tempatan dan mendapatkan perkhidmatan komuniti. Secara tidak langsung, ia meningkatkan pendapatan penduduk sekitar tanpa menjejaskan kelestarian alam,” katanya.

Beliau berkata penglibatan golongan belia juga penting bagi memastikan pembangunan ekopelancongan terus berkembang melalui penyediaan aktiviti rekreasi, penghasilan produk tempatan dan pembangunan perusahaan kecil yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.

 

ILMU, KOMUNITI DAN HARAPAN MASA DEPAN

Di sebalik usaha memelihara habitat ikan kelah, kawasan itu turut membuka ruang kepada kerjasama antara komuniti dan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh pembangunan ekopelancongan luar bandar.

Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK), UMK melihat inisiatif itu bukan sekadar sebagai sebuah destinasi rekreasi, sebaliknya contoh bagaimana pemuliharaan alam boleh digabungkan dengan pembangunan komuniti.

Pengarah INSPEK UMK Dr Ahmad Fahme Mohd Ali berkata lawatan pihaknya ke FMC Kelah Eco Park bertujuan mengenal pasti bentuk kepakaran akademik yang boleh disalurkan bagi memastikan manfaat pembangunan kawasan itu dapat dinikmati secara lebih meluas oleh masyarakat setempat.

Menurut beliau, pembangunan ekopelancongan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah pelancong, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan pembangunan perusahaan komuniti.

“Kita datang untuk melihat apakah bantuan yang diperlukan komuniti. Jika ada keperluan tertentu, INSPEK boleh menjadi penghubung antara komuniti dengan kepakaran di UMK supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata keadaan habitat ikan kelah yang masih terpelihara di kawasan itu turut menunjukkan kepentingan usaha memulihara ekosistem sungai sebagai asas kepada pembangunan yang mampan.

“Kita dapat melihat sendiri habitat ikan kelah di sini masih kekal dan populasinya semakin bertambah. Ini menunjukkan ekosistem sungai di kawasan ini terus dipelihara dengan baik,” katanya.

 

UNIVERSITI DAN KOMUNITI BERGERAK SEIRING

Ahmad Fahme berkata INSPEK tidak mengambil alih kepakaran yang dimiliki komuniti, sebaliknya melengkapkan kemahiran sedia ada melalui latihan, pembangunan kapasiti, jaringan industri dan bantuan mendapatkan sumber pembiayaan.

“Azman mempunyai kepakaran dalam memelihara habitat semula jadi ikan kelah. Peranan kami ialah membantu daripada aspek pembangunan keusahawanan, latihan, rangkaian industri dan mendapatkan sumber pembiayaan supaya usaha yang dijalankan dapat diperkukuh,” katanya.

Menurut beliau, INSPEK memfokuskan penyelidikan berkaitan kemiskinan dan pembangunan komuniti menerusi pendekatan “bottom-up”, iaitu bermula daripada keperluan sebenar masyarakat sebelum penyelesaian dirangka bersama-sama dengan komuniti.

Hingga kini, lebih 5,000 peserta telah mendapat manfaat menerusi pelbagai program pembangunan komuniti yang dilaksanakan INSPEK di seluruh Kelantan.

Selain itu, institusi berkenaan turut menjalin kerjasama dengan kementerian, institusi kewangan, sektor swasta serta universiti di Brunei dan Thailand bagi memperluas penyelidikan serta pembangunan komuniti.

“Kita tidak mahu penyelidikan hanya berakhir di atas kertas. Yang lebih penting ialah bagaimana kepakaran universiti dapat dipindahkan kepada komuniti sehingga mereka mampu berdikari, meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kemiskinan,” katanya.

 

MASIH BANYAK YANG PERLU DILAKUKAN

Walaupun usaha membangunkan FMC Kelah Eco Park menunjukkan perkembangan positif, Azman mengakui masih banyak kemudahan yang perlu ditambah baik bagi menyokong pembangunan kawasan itu secara mampan.

Katanya, antara keperluan yang dikenal pasti ialah bekalan elektrik, dewan, surau yang lebih selesa, tambahan penginapan serta jalan masuk yang lebih baik bagi memudahkan akses.

“Kami bergerak menggunakan modal sendiri. Kalau ada bantuan atau geran daripada kerajaan, pembangunan boleh dipercepat,” katanya.

Di sebalik meraikan kedatangan pengunjung, bagi Azman keutamaan tetap diberikan kepada pemeliharaan habitat sungai kerana kelestarian alam menjadi asas kepada keseluruhan usaha yang dibangunkan sejak hampir sedekad lalu.

“Kalau sungai ini rosak, ikan pun akan hilang. Bila ikan hilang, semua usaha yang kita bina selama ini juga akan terjejas,” katanya.