Ekonomi 30/07/2026 05:04 PM

Bursa Malaysia Catat Untung Bersih RM71.77 Juta Bagi Suku Kedua, Isytihar Dividen Interim 16.5 Sen

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bursa Malaysia Catat Untung Bersih RM71.77 Juta Bagi Suku Kedua, Isytihar Dividen Interim 16.5 Sen

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2026 meningkat kepada RM71.77 juta daripada RM57.05 juta bagi suku yang sama tahun kewangan 2025.

Perolehan pengendali bursa saham itu juga menokok kepada RM210.96 juta daripada RM172.57 juta bagi tempoh sama, didorong terutama oleh aktiviti dagangan sekuriti yang lebih tinggi.

Bagi enam bulan terkumpul, keuntungan bersih meningkat kepada RM144.60 juta daripada RM125.48 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan 2025, manakala perolehan menambah kepada RM425.04 juta daripada RM356.95 juta.

Menurut Bursa Malaysia dalam pasaran sekuriti, purata nilai perdagangan harian (ADV) meningkat 35 peratus tahun ke tahun kepada RM3.3 bilion, mencerminkan penyertaan pelabur yang berterusan.

“Aktiviti pengumpulan dana kekal kukuh, dengan 36 tawaran awam awal (IPO) merentas Pasaran Utama, ACE dan LEAP, secara kolektif mengumpul RM5.4 bilion dan menyumbang RM26.1 bilion dalam permodalan pasaran.

“Saluran IPO kekal menggalakkan, menyokong peranan Bursa Malaysia sebagai platform pengumpulan dana utama untuk perniagaan yang berada pada pelbagai peringkat pertumbuhan,” jelasnya dalam kenyataan kepada bursa pada Khamis.

Bursa Malaysia menjelaskan pasaran derivatif terus mencatat pertumbuhan positif, dengan dagangan purata kontrak harian (ADC) meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun kepada 106,518 kontrak.

“Peningkatan ini didorong terutama oleh aktiviti dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah yang lebih tingggi seterusnya menyumbang 84 peratus kepada jumlah ADC.

“Dagangan semasa sesi selepas waktu operasi T+1 juga mengukuh, dengan ADC naik 18.9 peratus tahun ke tahun kepada 16,801 kontrak dan menyumbang 15.8 peratus kepada jumlah aktiviti pasaran,” tambahnya.

Bursa Malaysia memaklumkan dalam pasaran Islam, Bursa Suq Al-Sila' (BSAS) merekodkan ADV bernilai RM49.5 bilion, disokong oleh peningkatan penyertaan domestik.

“Ekosistem pasaran modal Islam bursa yang meluas juga terus berkembang, dengan 81 peratus sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia mematuhi syariah. Bursa Gold Dinar mengekalkan momentum yang kukuh, dengan nilai transaksi melonjak 178.1 peratus tahun ke tahun kepada RM200.5 juta,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Fad’l Mohamed berkata Bursa Malaysia mencapai prestasi separuh pertama yang berdaya tahan, disokong aktiviti dagangan yang kukuh, momentum pengumpulan dana yang baik dan keyakinan berterusan terhadap pasaran modal Malaysia.

“Sepanjang tempoh tersebut, Bursa Malaysia mendahului ASEAN dari segi bilangan IPO dan pengumpulan dana, dengan 36 IPO mengumpul RM5.4 bilion, membuktikan peranan kami sebagai platform yang dipercayai untuk kalangan syarikat yang ingin mengumpulkan modal untuk pertumbuhan,” katanya.

Mengulas mengenai prospek, beliau berkata walaupun perkembangan geopolitik dan ketidakpastian pasaran luar terus memerlukan pemantauan teliti namun, asas ekonomi Malaysia kekal menyokong.

“Prospek pertumbuhan Malaysia kekal menggalakkan bagi 2026, didorong oleh permintaan domestik yang mampan dan pengembangan sektor teknologi yang berterusan seterusnya memperkukuh persekitaran kondusif untuk pembentukan modal dan aktiviti pelaburan.

“Kami yakin dengan prospek aktiviti IPO pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh perancangan yang teliti dan minat berterusan daripada syarikat yang ingin mengumpul modal pertumbuhan melalui pasaran awam,” katanya.

Fad’l berkata berasaskan hal itu, Bursa Malaysia kekal menumpukan kepada usaha memperkukuh kualiti pasaran, memperluas akses pelabur dan meningkatkan kesalinghubungan pasaran bagi menyokong pertumbuhan jangka masa panjang.

Bursa Malaysia telah meluluskan dan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 16.5 sen sesaham untuk tahun kewangan 2026, berjumlah kira-kira RM133.5 juta dan mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 92 peratus.

Tarikh kelayakan adalah 19 Ogos, 2026, dan pembayaran akan dibuat pada 27 Ogos, 2026.

-- BERNAMA