Lelaki Hadapi 12 Tuduhan Rompak Bersenjata, Tipu
KLANG, 23 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas 12 pertuduhan membabitkan rompakan bersenjata serta menipu melibatkan barang kemas dan wang tunai berjumlah lebih RM90,000 antara 2022 dan tahun ini.
B. Murugan, 52, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mujib Saroji; Majistret Siti Zubaidah Mamat; Majistret A. Karthiyayini dan Majistret Nor Azilah Mat selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu didakwa melakukan dua rompakan dengan bersenjatakan pisau terhadap dua wanita warga tempatan kedua-duanya berusia 74 tahun, di Taman Sri Sentosa dan Bandar Sultan Sulaiman di sini pada 3 Jan 2024 dan 10 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Bagi pertuduhan di semua Mahkamah Majistret, Murugan didakwa atas lima kesalahan menipu, empat kesalahan mencuri dan satu kes merompak antara 2022 dan 2025 yang kesemuanya dilakukan di Klang.
Dia didakwa di bawah Seksyen 379, 380, 392 dan 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar, Mohammad Uzzair Rosman dan Salman Alfarisi Nawawi serta Pegawai Pendakwa Insp Mohamad Rabiul Awal Ishak.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan antara RM4,000 hingga RM12,000 bagi setiap kesalahan terhadap Murugan.
Peguam T. Daneish mewakili tertuduh memohon jaminan minimum mengambil kira anak guamnya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu e-panggilan merupakan penanggung tunggal keluarga dan menghidap sakit jantung.
Mahkamah menetapkan jaminan dengan keseluruhan berjumlah RM46,000 selain sebutan semula di Mahkamah Sesyen pada 9 Sept manakala Mahkamah Majistret 13 Okt.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- IMO 2026: Malaysia Lakar Sejarah, Berada Dalam Kelompok 20 Terbaik Dunia
- Pasport Malaysia Kekal Antara 10 Paling Berkuasa Di Dunia, Di Tangga Ketujuh
- Intervensi Gaya Hidup Berstruktur Bantu Pengurusan Diabetes Lebih Baik Dalam 12 Minggu
- Pelaburan Jepun Dalam E&E Cecah RM10.5 Bilion, Bakal Wujud 9,009 Peluang Pekerjaan - MITI
- Graduan Malaysia Miliki Kompetensi Aeroangkasa Bertaraf Dunia