1.4 Juta Penduduk Gaza Dijangka Hadapi Ketidakjaminan Makanan Akut - IPC
GENEVA, 23 Julai (Bernama-Anadolu) -- Dianggarkan 1.4 juta penduduk Gaza dijangka berdepan "tahap tinggi ketidakjaminan makanan akut" sehingga Disember 2026, meningkat daripada 1.2 juta dalam tempoh pertengahan April hingga Jun, meskipun terdapat penambahbaikan hasil bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik analisis terbaharu Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), laporan itu menyatakan jumlah penduduk yang berdepan situasi krisis (Fasa 3) atau lebih buruk dijangka meningkat kepada 67 peratus daripada populasi Gaza, manakala 212,000 orang dijangka kekal dalam situasi kecemasan (Fasa 4) dan kesemua lima wilayah diklasifikasikan berada dalam fasa krisis.
Analisis IPC yang dikeluarkan pada Khamis menyatakan peningkatan bantuan kemanusiaan susulan gencatan senjata Oktober 2025 membantu memperbaiki keselamatan makanan dan pemakanan, dengan bantuan makanan disalurkan kepada kira-kira 1.49 juta orang pada Mei.
Bagaimanapun, IPC memberi amaran bahawa bekalan makanan masih tidak mencukupi, sumber mata pencarian terjejas teruk dan 83 peratus isi rumah melaporkan tidak mempunyai sumber pendapatan, menyebabkan kebanyakan keluarga bergantung kepada bantuan luar.
IPC memberi amaran bahawa kemajuan yang dicapai baru-baru ini kekal "sangat rapuh" berikutan bantuan kemanusiaan berkurangan sejak Februari akibat kekangan pendanaan dan ketidakpastian mengenai operasi pertubuhan bantuan antarabangsa.
Menurut IPC, tanpa bantuan makanan kemanusiaan, dianggarkan 1.9 juta orang atau kira-kira 90 peratus daripada penduduk Gaza akan berdepan tahap tinggi ketidakjaminan makanan akut sehingga Disember.
Analisis itu turut mengunjurkan 74,200 kanak-kanak berusia bawah lima tahun memerlukan rawatan akibat malnutrisi akut menjelang April 2027, termasuk 11,432 kes teruk.
Sementara itu, 24,600 wanita hamil dan menyusukan anak memerlukan sokongan pemakanan segera.
IPC menggesa akses kemanusiaan yang berterusan, perluasan program pemakanan dan penghentian kekal pertempuran bagi mengelakkan kemajuan yang dicapai baru-baru ini terjejas.
-- BERNAMA-ANADOLU
Kata kunci
Berita terkini
- IMO 2026: Malaysia Lakar Sejarah, Berada Dalam Kelompok 20 Terbaik Dunia
- Pasport Malaysia Kekal Antara 10 Paling Berkuasa Di Dunia, Di Tangga Ketujuh
- Intervensi Gaya Hidup Berstruktur Bantu Pengurusan Diabetes Lebih Baik Dalam 12 Minggu
- Pelaburan Jepun Dalam E&E Cecah RM10.5 Bilion, Bakal Wujud 9,009 Peluang Pekerjaan - MITI
- Graduan Malaysia Miliki Kompetensi Aeroangkasa Bertaraf Dunia