Glasgow 2026: Bonnie Sedia Pertahan Emas, Waspada Mark Swan
Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 23 Julai (Bernama) -- Ikon powerllifting negara Bonnie Bunyau Gustin mengakui pencabar dari England, Mark Swan, bakal menjadi halangan terbesar dalam usahanya mempertahankan pingat emas acara lelaki kategori lightweight bawah 72 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang bermula esok.
Juara Paralimpik itu berkata beliau tidak boleh memandang mudah keupayaan Swan memandangkan mereka sudah beberapa kali bertemu sebelum ini, selain prestasi atlet berusia 21 tahun itu yang semakin menghampiri catatan angkatannya.
"Saya perlu berhati-hati dengan atlet dari England itu. Kami bersaing dalam kategori yang sama dan sudah banyak kali bertemu. Angkatan yang dilakukannya tidak jauh berbeza dengan saya, jadi saya perlu lebih berwaspada," katanya ketika ditemui hari ini.
Bonnie bagaimanapun berkata beliau tiba di Glasgow dalam keadaan fizikal yang baik tanpa mengalami sebarang kecederaan dan bersedia sepenuhnya menghadapi pertandingan selepas berjaya menyesuaikan diri dengan cuaca tempatan serta menjalani latihan rasmi di Scottish Event Campus (SEC) Centre.
Beliau, yang menjadi antara sandaran awal Malaysia untuk menyumbang pingat emas, turut mengakui tetap merasai tekanan berikutan harapan tinggi yang diletakkan terhadapnya, namun menganggapnya sebagai pembakar semangat.
"Sasaran saya adalah untuk terus kekal di tempat pertama dan mempertahankan pingat emas. Setiap atlet pasti merasai tekanan. Saya mengambilnya secara positif dan mengharapkan doa serta sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia," kata atlet berusia 27 tahun itu.
Selain memberi perhatian kepada pencabarnya, Bonnie berkata pengurusan berat badan juga akan menjadi faktor penting memandangkan format pertandingan powerlifting para di Sukan Komanwel menggunakan formula yang menggabungkan berat badan atlet dengan jumlah angkatan yang berjaya dilakukan bagi menentukan kedudukan.
Bagaimanapun, beliau berkata berat badannya masih terkawal berdasarkan pemeriksaan terkini yang dijalankan semasa latihan.
Pada edisi 2022 di Birmingham, Bonnie menghadiahkan pingat emas buat Malaysia selepas mencipta rekod baharu temasya menerusi angkatan 220kg, manakala Swan meraih pingat perak dengan angkatan 202kg.
Malaysia meletakkan sasaran meraih lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, dengan angkat berat para disenaraikan antara sukan yang dijangka menyumbang kepada keutipan pingat negara.
-- BERNAMA
Berita terkini
- IMO 2026: Malaysia Lakar Sejarah, Berada Dalam Kelompok 20 Terbaik Dunia
- Pasport Malaysia Kekal Antara 10 Paling Berkuasa Di Dunia, Di Tangga Ketujuh
- Intervensi Gaya Hidup Berstruktur Bantu Pengurusan Diabetes Lebih Baik Dalam 12 Minggu
- Pelaburan Jepun Dalam E&E Cecah RM10.5 Bilion, Bakal Wujud 9,009 Peluang Pekerjaan - MITI
- Graduan Malaysia Miliki Kompetensi Aeroangkasa Bertaraf Dunia