23/07/2026 09:37 PM

Tentera Laut Singapura Lancar Kapal Perang Generasi Baharu Kedua

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 23 Julai (Bernama) -- Tentera Laut Republik Singapura (RSN) pada Khamis melancarkan Valour, Kapal Tempur Pelbagai Peranan (MRCV) kelas Victory kedua, kapal perang generasi baharu yang direka untuk dikonfigurasi semula dengan pantas bagi melaksanakan pelbagai misi, daripada operasi maritim berintensiti tinggi hingga bantuan kemanusiaan dan bencana.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata kapal itu akan memperkukuh keupayaan operasi RSN dengan membolehkannya menyesuaikan diri dengan pantas untuk melaksanakan pelbagai misi dalam persekitaran keselamatan yang terus berubah.

"Persekitaran keselamatan pada masa hadapan terus berubah. Kita tidak akan dapat meramalkan setiap cabaran yang bakal dihadapi.

"Namun, kita boleh membangunkan platform yang mampu menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap pelbagai senario serta berkembang seiring dengan cabaran berkenaan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan MRCV direka untuk berfungsi sebagai kapal induk bagi sistem tanpa pemandu di udara, permukaan dan bawah air semasa operasi tentera laut.

Kapal itu turut akan dilengkapi sensor canggih, sistem persenjataan dan keupayaan rangkaian, yang membolehkannya menangani pelbagai ancaman selain berfungsi sebagai kapal pemerintah.

"Direka dengan automasi canggih, MRCV mampu beroperasi dengan selamat dan berkesan menggunakan kru yang lebih kecil berbanding kapal perang lain dengan saiz dan keupayaan setanding," menurut Mindef dalam kenyataan.

Mindef memaklumkan MRCV Valour akan melalui proses pemasangan kelengkapan, integrasi platform dan sistem tempur serta ujian penerimaan sebelum diserahkan sebagai sebahagian daripada pengenalan MRCV secara berperingkat mulai 2028.

-- BERNAMA