Ayob Khan Bersara Ahad Ini Selepas 35 Tahun Berkhidmat Dalam PDRM
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Selepas hampir 35 tahun menabur bakti dalam pasukan "Sang Saka Biru", Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengesahkan beliau bakal menamatkan perkhidmatan Ahad ini.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat dalam Cawangan Khas termasuk Bahagian Counter-Terrorism, selain menyandang jawatan Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.
“Insya-Allah pada Ahad ini (26 Julai) adalah hari terakhir saya dalam pasukan setelah berkhidmat hampir 35 tahun dalam PDRM,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku biografi beliau “Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti” di sini hari ini.
Mengulas hala tuju selepas bersara, anak kelahiran Kedah itu berkata beliau sudah menerima beberapa tawaran, namun belum membuat sebarang keputusan.
"Ada 'offer' (tawaran) sikit apa semua, saya belum memikirkan lagi. Insya-Allah saya akan fokus untuk rehat dulu sekejap," katanya.
Ayob Khan turut berseloroh mahu membuka restoran mamak sebelum menjelaskan niat sebenarnya untuk meluangkan masa berkualiti dan berehat selepas bersara.
Beliau turut membayangkan perancangan untuk menghasilkan sebuah lagi naskhah yang lebih terperinci mengenai operasi-operasi berprofil tinggi yang pernah dikendalikannya, namun tertakluk kepada proses penyahklasifikasi bahan berkaitan.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis pelancaran buku biografi itu, Ayob Khan berkata setiap jawatan dan pangkat akhirnya akan berakhir, justeru seseorang perlu belajar melepaskan amanah yang dipikul.
“Pangkat akan berakhir, jawatan akan bertukar, seragam akhirnya akan digantung. Belajarlah untuk melepaskan. Semua yang ada pada kita hari ini tidak kekal,” katanya.
Ayob Khan berkata beliau ingin dikenang bukan semata-mata kerana jawatan yang pernah disandang, tetapi kerana usaha untuk mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti dilaksanakan dengan adil dan amanah.
“Amanah rakyat tidak boleh dijual beli. Lebih separuh daripada hidup saya telah saya habiskan bersama ‘Sang Saka Biru’. Pasukan ini mendidik, membentuk saya, pasukan ini juga mengajar saya tentang disiplin, keberanian, pengorbanan serta kesetiaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan integriti perlu menjadi benteng utama setiap warga PDRM kerana kuasa yang dimiliki pasukan itu datang bersama cabaran serta dugaan serta godaan.
“Apabila kita memasuki polis, kita ada banyak kuasa. Kalau kita tak kuat dari segi integriti, kita akan tersasar. Kita mungkin akan buat benda-benda yang tidak betul sebab godaan itu kuat.
“Semakin tinggi jawatan yang diberikan, semakin besar cabaran dan tekanan yang perlu dihadapi. Pada ketika itulah integriti tidak boleh tinggal sebagai slogan, ia mesti diterjemahkan melalui keputusan dan tindakan," katanya.
Menyingkap rahsia ketegasannya, Ayob Khan berkata segalanya bermula daripada pesanan ringkas arwah ayahnya supaya tidak mengambil hak orang lain.
“Apabila saya menyertai PDRM, barulah saya benar-benar memahami makna pesanan tersebut yang bukan sekadar jangan mengambil harta milik orang lain, ia juga bermaksud jangan menyalahgunakan kuasa, jangan mengambil rasuah dan jangan mengkhianati amanah yang diberikan kepada kita,” katanya.
Buku biografi yang dilancarkan hari ini memaparkan pengalaman beliau dalam aspek tadbir urus dan integriti, dengan harapan ia dapat dijadikan bahan rujukan oleh warga PDRM, mahasiswa, generasi muda, penjawat awam dan masyarakat umum.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Lelaki Hadapi 12 Tuduhan Rompak Bersenjata, Tipu
- 1.4 Juta Penduduk Gaza Dijangka Hadapi Ketidakjaminan Makanan Akut - IPC
- Glasgow 2026: Bonnie Sedia Pertahan Emas, Waspada Mark Swan
- Polis Tahan Lelaki Cuba Samun Van Keselamatan, Rampas Semula Senjata Api
- KL Midtown Lancar Menara Pejabat Mampan, Jangka Lebih Ramai Penyewa Pada Tahun Hadapan