Am 14/07/2026 02:26 PM

Naik Taraf FT17: Transformasi Lebuhraya Pasir Gudang Tingkat Keselamatan Pengguna

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Naik Taraf FT17: Transformasi Lebuhraya Pasir Gudang Tingkat Keselamatan Pengguna

JOHOR BAHRU, 14 Julai (Bernama) -- Kebimbangan pengguna jalan raya terhadap aspek keselamatan di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) kini kian reda, susulan inisiatif naik taraf bersepadu kerajaan negeri yang berjaya mentransformasikan nadi utama industri itu menjadi laluan yang lebih selamat, efisien dan moden.

Tinjauan Bernama mendapati siri naik taraf infrastruktur secara bersepadu yang dilaksanakan kerajaan negeri itu, berjaya mentransformasikan imej laluan berkenaan, sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna harian yang sebelum ini sering berhadapan dengan risiko “laluan gelap”.

Kakitangan syarikat swasta Nur Izzati Mohd Nor, 28, mengakui peningkatan kualiti penglihatan hasil pemasangan lampu LED amat membantu pengguna, terutamanya wanita, untuk lebih bersedia dan pantas bertindak sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Apabila persekitaran terang dan jalan lebih lebar, kita tidak perlu lagi bimbang tentang risiko lubang atau objek asing, kerana semuanya nampak jelas. Memandu pada lewat malam kini terasa lebih tenang dan selamat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang rutin berulang-alik melalui lebuh raya tersebut mengakui, kawasan yang dahulunya mencetuskan kebimbangan kini bertukar menjadi infrastruktur penting, yang menjamin keselamatan dan keselesaan perjalanannya ke tempat kerja.

Bagi pesara S. Rathakrishnan, 62, beliau menyifatkan transformasi itu, sebagai satu pembuktian terhadap keseriusan pihak berkuasa dalam menjaga nyawa rakyat, menerusi penyediaan fasiliti berkualiti tinggi di kawasan berkepadatan tinggi.

“Kalau dahulu lalu di sini (Lebuhraya Pasir Gudang) memang cukup berbahaya, suasana gelap, jalan berlubang membahayakan keselamatan kami penunggang motosikal, lebih-lebih lagi ketika hujan. Tetapi sekarang di bawah pimpinan Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) infrastruktur ini jauh lebih baik.

“Usaha kerajaan negeri menyelenggara lampu jalan, menurap dan melebarkan jalan ini, satu usaha yang cukup bermakna untuk rakyat yang sentiasa bergantung kepada lebuh raya ini,” katanya yang menetap di sekitar Bandar Seri Alam.

Seorang lagi pengguna, Tan Wei Lun, 38, memuji usaha berterusan kerajaan negeri dalam menaik taraf fasiliti penting yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi setempat.

“Kemajuan berterusan yang kita saksikan, membuktikan bahawa sumber negeri dikembalikan kepada rakyat. Hakikat bahawa Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) tidak lagi dikenali sebagai jalan raya kedua terburuk di Malaysia, merupakan satu pencapaian besar yang jelas membuktikan kejayaan itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Lebuhraya Pasir Gudang yang sebelum ini tersenarai sebagai jalan kedua paling teruk Malaysia, kini tidak lagi berada dalam kelompok 10 jalan paling teruk di negara hasil usaha penambahbaikan secara berterusan yang dilakukan di laluan berkenaan.

Sentimen positif pengguna itu disokong oleh laporan kemajuan fizikal projek menaik taraf lebuh raya berkenaan daripada empat kepada enam lorong, kini telah mencapai tahap 83 peratus siap.

Pada 14 Mei, Onn Hafiz memaklumkan sebahagian jajaran sepanjang 6.4 kilometer (km) bagi projek di Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting hingga Pasir Gudang itu, telahpun dibuka kepada pengguna.

Beliau memaklumkan baki laluan utama sepanjang 3.6km, dijadual dibuka sepenuhnya menjelang Ogos ini, manakala kerja-kerja kemasan dan penyelarasan infrastruktur lain akan diteruskan sehingga siap sepenuhnya pada November 2026.

Projek naik taraf lebuh raya itu turut melibatkan peruntukan RM6 juta bagi pemasangan 1,308 unit lampu LED Pintar oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di jajaran 23.5km dari Persimpangan Perling hingga Bandar Seri Alam/Taman Rinting, selain 386 unit tambahan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi jajaran Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke MMHE.

Langkah pemodenan bersepadu ini bukan sahaja meminimumkan risiko kemalangan, malah menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan selaras dengan agenda pembangunan Maju Johor 2030.

-- BERNAMA