Am 11/09/2026 12:05 AM

Tengku Ampuan Pahang Berkenan Saksikan Tayangan Khas Dokumentari Tekad

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tengku Ampuan Pahang Berkenan Saksikan Tayangan Khas Dokumentari Tekad
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) berkenan bergambar bersama pendaki Gunung Everest Mohd Khafiz Bachok (kanan) dan Margaret Chew Wei Ngor (kiri) pada sesi tayangan filem dokumentari Tekad Ekspedisi Guthrie Everest 2026 di GSC Subang Parade. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PETALING JAYA, 10 Sept (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyaksikan tayangan khas dokumentari ‘TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026’ di sebuah pawagam di Subang Jaya malam ini. 

Dokumentari itu merakamkan perjalanan dua pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok, 47, yang lebih dikenali sebagai Kicok, dan Chew Wei Ngor atau Margaret, 56, dalam menguji ketahanan fizikal serta mental bagi merealisasikan impian menawan puncak tertinggi dunia.

Sebelum tayangan bermula, baginda berkenan menerima persembahan Jalur Gemilang yang pernah dikibarkan Mohd Khafiz di puncak Gunung Everest serta senaskhah buku nukilannya bertajuk ‘Misi K2: Pendakian Ironman Malaysia ke Puncak Gunung Paling Berbahaya di Dunia’.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan SD Guthrie Berhad Shahrizan Aini Shamsul Khalil.

Diterbitkan oleh Rack Focus Films dan Red Communications serta diarahkan Ahmad Yazid, dokumentari itu memberikan gambaran mengenai cabaran fizikal dan mental yang dihadapi pasukan ekspedisi ketika mengharungi persekitaran ekstrem di Banjaran Himalaya.

Marwan Murshid bertindak sebagai pengarah fotografi bagi dokumentari berkenaan dengan kru produksi mengikuti perjalanan itu sehingga Everest Base Camp (EBC).

Rakaman perjalanan Mohd Khafiz selepas meninggalkan EBC menuju ke puncak dilakukan sendiri oleh beliau bersama Sherpa yang mengiringinya, dengan kedua-duanya merakam visual sepanjang pendakian.

Sepanjang lebih 40 hari berada di EBC pada ketinggian kira-kira 5,300 meter dari paras laut, pasukan ekspedisi berdepan suhu serendah hampir negatif 25 darjah Celsius, komplikasi kesihatan akibat altitud tinggi serta keadaan gunung yang tidak menentu.

Antara cabaran paling berbahaya yang terpaksa ditempuhi ialah Khumbu Icefall, iaitu glasier tidak stabil yang perlu dilalui pendaki dalam perjalanan menuju puncak.

Mohd Khafiz berjaya menawan puncak Gunung Everest selepas mengharungi pendakian terakhir selama kira-kira 12 jam dalam keadaan kesihatannya semakin merosot serta berdepan tiupan angin sehingga 40 kilometer sejam.

Margaret pula berjaya mencapai Kem Empat pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari paras laut sebelum kesesakan teruk di laluan menuju puncak memaksanya menghentikan pendakian.

Dokumentari TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 akan ditayangkan secara eksklusif menerusi Astro saluran 100 pada 13 Sept ini, pukul 8 malam, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

-- BERNAMA