Am 11/09/2026 12:34 AM

Tuntutan Difailkan Di Singapura Berkaitan Eric Tan, Sekutu Jho Low - Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tuntutan Difailkan Di Singapura Berkaitan Eric Tan, Sekutu Jho Low - Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memaklumkan tuntutan ganti rugi yang difailkan oleh pelikuidasi lantikan mahkamah bagi empat syarikat yang menyaman DBS Bank adalah berkaitan dengan akaun yang dibuka oleh sekutu Jho Low, Eric Tan.

Pada Rabu, pelikuidasi empat syarikat, iaitu BlackRock Commodities (Global) Ltd, Platinum Global Luxury Services Ltd, Affinity Equity International Partners dan TKIL Global Investments Ltd, dilaporkan memfailkan dan menyerahkan tuntutan ganti rugi melebihi S$1 bilion di Mahkamah Tinggi Singapura ke atas bank pemberi pinjaman terbesar di Asia Tenggara itu.

Dalam satu kenyataan, pasukan petugas itu memaklumkan berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan, kelima-lima akaun berkenaan telah dibuka dengan DBS pada 2013.

Menurutnya, dokumen pembukaan akaun untuk keempat-empat syarikat itu menamakan Tan Kim Loong, yang lebih dikenali sebagai Eric Tan, sebagai pemilik benefisial tunggal.

Pasukan petugas itu juga turut memaklumkan Tan, yang merupakan penandatangan bagi setiap satu daripada kelima-lima akaun berkenaan, ialah warga Malaysia dan sekutu rapat Jho Low yang bertindak sebagai proksinya.

Wang itu, setelah dimasukkan ke dalam kelima-lima akaun berkenaan, bukan sekadar disimpan di situ. Ia saling dipindahkan di antara keempat-empat syarikat tersebut tanpa sebarang alasan yang sah, serta dibayar kepada pihak ketiga, termasuk di kedai barangan kemas, penyedia perkhidmatan sewa jet peribadi dan kelab malam.

Wang itu juga dibayar untuk tujuan pembelian sebuah kapal layar mewah.

"Antara 2013 hingga 2014, lebih daripada US$1 bilion wang yang dicuri daripada 1MDB dan SRC International telah disalurkan melalui keempat-empat syarikat ini. Wang berkenaan adalah milik 1MDB, jadi sebarang pemulihan oleh keempat-empat syarikat dan pelikuidasi lantikan mahkamah merupakan satu pemulihan aset untuk Malaysia," tambah pasukan petugas itu.

 Mengalu-alukan tindakan itu, pasukan petugas memaklumkan pelikuidasi yang dilantik oleh mahkamah untuk keempat-empat syarikat berkenaan sedang meneruskan tuntutan tersebut demi kepentingan mangsa penipuan, termasuk 1MDB.

Menurutnya, bank merupakan pihak yang berperanan sebagai gatekeeper (penjaga) kepada sistem kewangan.

"Apabila syarikat tidak aktif yang digunakan bagi menyembunyikan aset memindahkan sejumlah wang yang besar secara berulang kali, kemudian digunakan sebagai pembayaran kepada pengedar barangan mewah, sesebuah bank sepatutnya mengemukakan pertanyaan. Namun pertanyaan itu tidak dikemukakan.

"Pendirian kami adalah mudah. Ini merupakan tuntutan yang sewajarnya oleh pelikuidasi lantikan mahkamah dan sebarang wang yang dipulihkan akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia," tambah pasukan petugas itu.

-- BERNAMA