Am 11/09/2026 12:11 AM

JIM Perlis Gagalkan Cubaan Seludup Migran, Dua Lelaki Ditahan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JIM Perlis Gagalkan Cubaan Seludup Migran, Dua Lelaki Ditahan
Kredit: JIM Perlis

KANGAR, 10 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menggagalkan cubaan penyeludupan migran menerusi Ops Kutip selepas menahan seorang lelaki disyaki bertindak sebagai pengangkut bersama seorang warga asing di sekitar Kuala Perlis kira-kira 3 pagi tadi.

Pengarah Imigresen Perlis Mohammad A’sim Md Ali berkata operasi itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan Bahagian Perisikan bersama Bahagian Penguatkuasaan JIM Perlis.

Beliau berkata pemeriksaan dan serbuan di lokasi membawa kepada penahanan lelaki berusia 53 tahun itu serta seorang lelaki warga Myanmar berusia 35 tahun yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai menggunakan laluan terpencil berhampiran kawasan perairan bagi memindahkan pendatang tanpa izin. Turut disita sebuah kenderaan sedan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan, telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohammad A’sim berkata lelaki warga tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] manakala lelaki warga Myanmar berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

“JIM Perlis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, sama ada warga tempatan atau warga asing, yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran.

“Tindakan tegas berlandaskan peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi memastikan kedaulatan, keselamatan dan ketenteraman negara terus terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA