PRN Johor: 10 Daripada 34 Calon Wanita Bertanding Menang
JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Sepuluh daripada 34 calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berjaya memperoleh mandat pengundi untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kepimpinan golongan wanita dalam landskap politik negeri berkenaan.
Daripada jumlah itu, tujuh calon adalah daripada Barisan Nasional (BN) manakala tiga mewakili Pakatan Harapan (PH).
Tujuh yang mewakili BN ialah Nadhirah Afiqah Abdull Rahim yang memenangi DUN Serom, Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Alwiyah Talib (Endau), Norlizah Noh (Johor Lama), Fauziah Misri (Penawar), Chan San San (Johor Jaya) dan Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang).
Sementara calon wanita PH, Felicia Poh Rui Ling memenangi kerusi DUN Penggaram, Chu Poh Yee (Mengkibol) dan Kartiyaini Jeyapalan (Skudai).
Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang Nadhirah Afiqah, yang membuat penampilan sulung pada pilihan raya kali ini berjaya mempertahankan kerusi DUN Serom bagi BN dengan memperoleh majoriti 9,406 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mahfidz Omar dan Ahmad Nazari Abd Hamid mewakili PH.
Kemenangan Nor Rashidah di Parit Raja menyaksikan peningkatan sokongan terhadap BN selepas memperoleh 19,572 undi dengan majoriti 13,576 undi, berbanding hanya majoriti 4,219 undi pada PRN Johor 2022, dalam menentang calon PH Shazwan Dzainal Abidin dan Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee daripada PN.
Alwiyah pula mencipta hatrik apabila kembali mendapat mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu untuk penggal ketiga dengan majoriti 3,041 undi dalam saingan empat penjuru, menewaskan calon PN Hasnul Hakimi Hussien, Jati Awang mewakili Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Saiful Nizam Samat daripada PH.
Penyandang kerusi DUN Johor Lama Norlizah menang bergaya dengan majoriti 16,344 undi dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon PN Aisah Esa dan calon termuda PRN kali ini Danish Hossman Abd Rahman mewakili Pakatan Harapan (PH).
Sementara Fauziah turut meraih kemenangan besar di DUN Penawar dengan majoriti 15,776 undi dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, PH dan PN, manakala Chan mencipta kejutan apabila berjaya menawan kerusi DUN Johor Jaya yang dianggap kubu kuat DAP dengan meraih 35,971 undi mengenepikan calon PH, Bebas dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam saingan empat penjuru.
Penyandang kerusi DUN Pulai Sebatang Hasrunizah juga berjaya mempertahankan kerusi berkenaan apabila meraih kemenangan besar dalam pertembungan satu lawan satu menentang Haniff @ Ghazali Hosman (PH) dengan majoriti 13,590 undi, peningkatan majoriti berbanding PRN Johor 2022 sebanyak 6,325 undi.
Selain itu, calon muda PH bagi DUN Penggaram Poh, 28, mencatat kemenangan sulung mempertahankan kerusi itu, selepas menewaskan Boo Chin Liong (BN) dengan majoriti 4,137 undi dalam saingan satu lawan satu.
Chu berjaya mempertahankan kerusi PH di DUN Mengkibol dengan majoriti 4,213 undi selepas menewaskan Yap Zhi Peng daripada BN.
Anak jati Skudai yang juga peguam Kartiyaini, berdepan saingan empat penjuru menentang Tan Hiang Kee daripada BN, Eugene Chua Meng Chong (Bersama) dan Amir Syafiq Ameer Soekre (Parti Sosialis Malaysia - PSM), berjaya mempertahankan kerusi tradisi PH itu dengan majoriti 15,280 undi.
Untuk rekod, seramai 34 calon wanita bertanding dalam PRN kali ini, mewakili hampir 20 peratus berbanding 138 calon lelaki.
PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN
-- BERNAMA