12/07/2026 02:20 PM

Samsolbari Jamali Cipta Sejarah, Kekal ADUN Semarang Enam Penggal Berturut-turut

JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Samsolbari Jamali mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan kerusi DUN Semarang bagi enam penggal berturut-turut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Kemenangan itu mengekalkan khidmat beliau sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan selepas lebih 30 tahun terlibat dalam arena politik dan pentadbiran negeri.

“Mandat yang diberikan ini merupakan satu amanat yang besar. Kemenangan ini bukanlah milik seorang individu tetapi kejayaan seluruh rakyat DUN Semarang yang memilih perpaduan, kestabilan dan kemajuan.”

“Dengan mandat ini marilah kita teruskan semangat muafakat, perpaduan dan kerjasama yang telah kita bina untuk terus membangun potensi dan memperkemas prasarana dalam DUN Semarang,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Samsolbari, 65, memperoleh 17,374 undi untuk menewaskan dua pencabarnya iaitu Ramli Abd Hamid daripada Pakatan Harapan (PH-Amanah) yang meraih 2,205 undi dan Muhammad Syafiq Abdul Aziz daripada Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dengan 2,695 undi.

Beliau berjaya meraih kemenangan dengan majoriti besar sebanyak 14,679 undi, sekali gus merekodkan peningkatan ketara berbanding PRN Johor 2022 apabila menang dengan majoriti 5,846 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, Samsolbari yang bertanding atas tiket BN turut menang di DUN Semarang dengan majoriti 5,842 undi.

Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam itu merupakan penyandang kerusi Semarang yang mula berkhidmat sebagai ahli DUN kawasan berkenaan sejak 2004 dan terus diberi mandat oleh pengundi hingga ke hari ini. 

Sepanjang penglibatan dalam pentadbiran negeri, Samsolbari pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, selain menerajui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Johor selepas pembentukan kerajaan negeri pada 2022, memperlihatkan pengalaman luas beliau dalam aspek perundangan dan pengurusan Dewan.

Kejayaan mempertahankan kerusi itu hadir ketika BN berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor Ke-16, sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.

Kemenangan tersebut menyaksikan BN menambah lapan kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022, sekali gus menguasai majoriti dua pertiga DUN Johor.

PRN Johor yang berlangsung semalam menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN, terdiri daripada 56 calon masing-masing daripada BN dan PH, diikuti Perikatan Nasional 33 calon, Bersama (15), MUDA (empat), Bebas (enam) serta masing-masing seorang calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti ASLI.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas.

-- BERNAMA