SERDANG, 7 Sept (Bernama) -- Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berakhir semalam merekodkan kejayaan apabila usaha mempromosikan sektor pertanian negara juga menjadi medan penyatuan rakyat pelbagai kaum serta menarik minat generasi muda terhadap bidang itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang sepanjang 10 hari penganjuran menunjukkan acara pertanian dwitahunan itu mempunyai daya tarikan lebih luas dan tidak terhad kepada pemain industri pertanian sahaja.
Beliau berkata ia termasuk penyertaan masyarakat Tionghoa yang semakin ketara selain peningkatan penglibatan golongan muda dalam pelbagai aktiviti dan pameran sepanjang penganjuran MAHA 2026.
“Ini menunjukkan pertanian bukan soal latar belakang politik, sebaliknya penyatuan ke arah keterjaminan makanan,” katanya pada sidang media pencapaian MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
MAHA 2026 bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” yang bermula pada 28 Ogos merekodkan 5.02 juta pengunjung termasuk penglibatan 2.01 juta belia selain mencatat nilai jualan sebanyak RM73.08 juta.
Penganjuran edisi ke-14 itu turut menghimpunkan lebih 2,000 pempamer serta delegasi dari 14 negara selain melibatkan pemeteraian 97 memorandum persefahaman (MoU) dengan nilai keseluruhan RM10.35 bilion, mencerminkan skala penyertaan dan potensi kerjasama yang berjaya diwujudkan kali ini.
Mohamad berkata pencapaian itu memberikan gambaran MAHA terus berkembang sebagai platform yang menghubungkan masyarakat, pemain industri, kerajaan dan golongan muda dalam usaha memperkukuh ekosistem agromakanan negara.
Mengenai kesinambungan selepas MAHA 2026, beliau berkata jaringan perniagaan dan perusahaan yang dicapai sepanjang acara itu dijangka terus berkembang walaupun penganjuran telah berakhir.
“Sudah tentu MAHA tidak berakhir di sini. Jaringan perniagaan dan perusahaan akan diteruskan sehingga kita berharap dapat bertemu dua tahun lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran MAHA 2026 termasuk pasukan sekretariat, pelbagai kementerian, agensi, kerajaan negeri, pemain industri, usahawan, rakan strategik, pasukan keselamatan dan sukarelawan.
Antara tarikan utama MAHA 2026 ialah Laman Padi, Laman Nanas, Laman Sayur, Laman Herba, Laman Jagung dan Bawang, Laman Florikultur, Laman Perikanan, Laman Smart Farming, Laman Veterinar, Pavilion Negeri, Agrosafari, Perkampungan Bang Mat, Rhythm of the Farmers (ROTF) serta Kiddies Wonderland.
Penganjuran kali ini turut memberikan penekanan kepada teknologi dan inovasi agro termasuk pertanian pintar, automasi, dron, kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT) serta teknologi makanan selain membuka ruang kepada golongan belia meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agromakanan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Penutup MAHA 2026 semalam di MAEPS.
Selain itu, Pavilion Sarawak diumumkan sebagai penerima Anugerah Pavilion Negeri Terbaik MAHA 2026 manakala tempat kedua Pavilion Perak dan ketiga Pavilion Kedah.
-- BERNAMA